KUALA LUMPUR: Titah Adendum berhubung pelaksanaan tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mesti segera dilaksanakan tanpa melalui perbicaraan.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sejak awal lagi beliau bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah menyatakan kewujudan titah tersebut dan perkara sama kemudian disahkan oleh mahkamah minggu lalu.
“Daripada awal lagi, saya bersama Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan bahawa Titah Adendum itu memang wujud. Sebab itu kami berdua telah membuat afidavit. Alhamdulillah minggu lepas, mahkamah sudah memutuskan bahawa itu wujud.
“Bagi kita, kita ingin Datuk Seri Najib mendapat pengadilan yang sewajarnya. Itulah kehendak dan hasrat kita dan kita harap ia dapat diselesaikan. Saya juga telah lama menyatakan pendirian bahawa Titah Adendum ini perlu dilaksanakan segera.
“Kalau boleh, tidak perlu dibicarakan lagi kerana ia memang telah wujud. Sudah pastinya, sekiranya cerita Adendum ini dilaksanakan, ia akan memberi semangat yang lebih kepada ahli UMNO untuk terus berjuang,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Program Larian Tok Gajah Kuala Lumpur Edisi 2025 di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), di sini hari ini.
Menurut Wan Rosdy, pelaksanaan Titah Adendum tersebut akan memberi semangat tambahan kepada ahli UMNO untuk terus berjuang, khususnya selepas isu berkenaan terbukti mempunyai asas.
Mengulas acara larian tersebut, Wan Rosdy yang juga Menteri Besar Pahang berkata, keseluruhannya lebih 10,000 orang membanjiri Dataran DBKL bagi menyertai acara yang memasuki edisi kedua penganjurannya.
Kata beliau, sambutan yang diterima amat menggalakkan dengan penyertaan lebih 3,000 peserta bagi Larian Tok Gajah dan hampir 3,000 bagi Larian Negaraku.
“Kehadiran kali ini meningkat berbanding tahun lalu yang mencatat lebih 2,000 penyertaan. Larian Tok Gajah ini melambangkan solidariti anak-anak Pahang di perantauan yang tetap kukuh dan kuat.
“Tok Gajah ini melambangkan keberanian dan semangat berpasukan pahlawan dari negeri Pahang. Insya-Allah, acara ini akan kita jadikan acara tahunan,” katanya-UTUSAN











