Ahmad Samsuri belum pasti bertanding DUN atau Parlimen -

Ahmad Samsuri belum pasti bertanding DUN atau Parlimen

DR. AHMAD SAMSURI MOKHTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menyerahkan keputusan kepimpinan parti dalam menentukan kedudukannya sama ada kekal bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). 

Menteri Besar Terengganu itu berkata, sebagai ahli parti, semua keputusan pimpinan Pas akan diterima sepenuh hatinya walau dalam apa juga keadaan.

“Saya serahkan kepada kepimpinan parti untuk menentukan (bertanding  DUN atau Parlimen) kerana itu adalah keputusan parti dan bukannya individu.

“Calon untuk satu-satu kerusi itu bukan milik penyandang sedia ada atau milik mana-mana individu, kita serahkan sahaja kepada parti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan wang pendahuluan diri dan bantuan persediaan penerima Biasiswa Skim Pelajar Cemerlang Luar Negara Tahun 2022 Yayasan Terengganu di sini, hari ini.

Pada PRU-14 yang lalu, Dr. Ahmad Samsuri menang dengan majoriti 6,028 di kerusi DUN Rhu Rendang mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Nik Dir Nik Wan Ku yang mendapat 7,823 undi.

Beliau sebelum ini disebut-sebut akan bertanding ke kerusi Parlimen pada  PRU-15.

Tambah Dr. Ahmad Samsuri, soal mengenai calon yang bertanding juga adalah sangat dinamik kerana selagi belum tiba hari penamaan calon, ia masih boleh berubah-ubah.

“Walaupun kita kata dah selesai, tapi akan masih ada perkara-perkara kecil yang belum selesai, malah, malam sebelum hari penamaan pun ada kalanya tak selesai lagi. 

“Namun, dengan iltizam kita, lihat pada ‘milestone’ sekarang, ia akan selesai mengikut jangka waktunya dan hanya akan betul-betul muktamad selepas tempoh penamaan selesai,” katanya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN