DUNGUN : Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.
Itulah keperitan yang terpaksa dilalui seorang warga emas apabila terpaksa menguruskan enam daripada 12 anaknya yang berstatus orang kurang upaya (OKU), meskipun kudratnya semakin terbatas.
Kamaludin Embong, 72, dari Kampung Keliyu, Serdang di sini berkata, tanggungjawab tersebut dipikulnya selepas kematian isterinya, Azizah Bakar, 70, yang meninggal dunia pada April lalu.
Menurutnya, enam anaknya iaitu Mohd. Fairus, 44 ; Mohd. Zulkifli, 40; Hazura, 37; Hatikah, 35; Mohd. Shahrul, 30, dan Mohd. Azeem Asyraf, 27, dilahirkan bisu dan pekak selain mengalami perkembangan mental yang tidak normal.
Katanya, dia juga semakin tidak terdaya menguruskan Hazura yang tidak mampu berjalan dan hanya menggunakan kerusi roda manakala Mohd. Zulkifli pula hanya mampu terlantar termasuk mengusung dua beradik itu untuk mandi.
“Meskipun saya turut mengalami kesakitan pada kaki kanan selepas mengalami kecederaan ekoran kemalangan beberapa tahun lalu, namun, saya tetap menggagahkan diri menguruskan mereka,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Keliyu, Serdang di sini hari ini.
Selain itu, Kamaludin memberitahu, empat anak OKU lain boleh menguruskan diri sendiri seperti mandi, makan dan minum. Mereka juga kadangkala boleh membantu melakukan kerja rumah seperti menjemur baju dan menyapu, namun, mereka kerap diserang sawan dan memerlukan pemerhatian.
Tambahnya, enam lagi anaknya yang lain sud mendirikan rumah tangga dan tinggal berasingan, namun dia akan turut dibantu anaknya Rozita, 40, yang tinggal di bandar Dungun, pada hari minggu.
“Selain itu, salah seorang anak saya normal, Rozita berusia 39 tahun juga banyak membantu menjaga adik-beradik mereka,” ujarnya.
Menurut Kamaludin, kehidupan mereka bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM1,800 sebulan berikutan dia tidak mampu lagi bekerja.
“Kalau ikutkan, nilai bantuan ini besar bunyinya, namun kadangkala tidak mencukupi kerana Mohd. Zulkifli dan Hazura memerlukan susu khas serta memakai lampin pakai buang yang menelan belanja tinggi,” katanya.
Kamaludin berkata, meskipun perit menghadapi ujian tersebut, namun dia tetap bersabar dan akan terus menjaga kesemua anaknya hingga hujung nyawa.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghulurkan bantuan kepada keluarga tersebut menerusi akaun Bank Simpanan Nasional milik Kamaludin iaitu 11200-29-84724972-8 atau menghubungi Rozita di talian 017-9401171. –UTUSAN