Tubuh dana, bantu rakyat terjejas - Utusan Malaysia

Tubuh dana, bantu rakyat terjejas

KERAJAAN diminta turut padang selami masalah rakyat yang keluh-kesah kerana kenaikan kos sara hidup. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan perlu memperbaharui sistem perlindungan sosial dengan menubuhkan satu dana bagi memastikan rakyat terutamanya golongan B40 dan M40 yang sangat terdedah dengan kesan kenaikan harga barang mampu terus bertahan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah ekonomi Universiti Tun Abdul Razak, Prof. Dr. Barjoyai Bardai berkata, negara akan mengalami kenaikan harga barang khususnya barangan makanan yang diimport, sekali gus meningkatkan kos sara hidup.

Ujarnya, keadaan ini sudah tentu memberi impak besar kepada golongan B40 dan M40 yang tidak cukup persediaan berikutan pendapatan dan keupayaan kewangan yang terhad untuk menghadapi krisis kenaikan harga ini.

“Rakyat memang akan terjejas, jadi kerajaan perlu memikirkan satu sistem serapan bagi membantu mereka. Kerajaan perlu fikir ada lapan juta isi rumah yang terjejas dan mereka memerlukan pertolongan.

“Justeru, kerajaan perlukan satu kaedah sistem perlindungan sosial baharu dan saya cadangkan kita tubuhkan satu dana khusus, mulakan kutipan sumbangan daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) seperti Petronas, Khazanah dan syarikat tersenarai lain.

“Dengan kutipan tersebut, kerajaan akan beri timbal balik menerusi insentif pelepasan cukai dan sebagainya. Ini akan membantu kerajaan menyalurkan dana tersebut kepada golongan memerlukan,” katanya di sini semalam.

Terdahulu, Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) mendedahkan prospek ekonomi global semakin suram dengan ketara sejak April dan tidak menolak kemungkinan kemelesetan tahun depan susulan risiko yang tinggi.

Pengarah Urusannya, Kristalina Georgieva berkata, IMF dijangka menurun unjuran pertumbuhan ekonomi global 2022 dalam tempoh beberapa minggu akan datang daripada 3.6 peratus buat kali ketiga, sambil menambah bahawa ahli ekonomi dana kewangan berkenaan masih memuktamadkan angka baharu.

Barjoyai berkata, dana tersebut mungkin boleh digunakan pada lima hingga 10 tahun lagi sebagai penyelesaian jangka panjang, namun ia memberi isyarat kepada isi rumah bahawa kerajaan sedang melakukan sesuatu yang inklusif demi rakyat.

Katanya, kerajaan perlu tetapkan matlamat untuk mengumpul RM100 bilion setahun dan dana tersebut akan mempunyai RM1 trilion dalam tempoh lima tahun tidak termasuk pulangan pelaburan di antara lima ke enam peratus setahun. 

“Daripada dana terkumpul itu, kerajaan sudah boleh membantu lapan juta isi rumah yang terjejas. Namun, dana ini perlu dimulakan serta-merta supaya kita tidak terlambat untuk mendapatkan penyelesaian kelak,” ujarnya.

Ditanya mengenai kemelesetan ekonomi global yang dijangka tahun depan, beliau menegaskan negara akan terkecuali daripada kesan kemelesetan berikutan eksport kukuh dan harga eksport yang meningkat terutamanya bagi minyak serta barang elektrik dan elektronik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya