Tragedi tanah runtuh: ibu reda anak maut tertimbus - Utusan Malaysia

Tragedi tanah runtuh: ibu reda anak maut tertimbus

RUMAH yang terjejas akibat kejadian tanah runtuh berhampiran Rumah Pangsa Taman Elok Bukit Nenas di Kota Kinabalu hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: “Semasa anak saya ditemukan di bawah runtuhan tanah, saya berharap dia masih boleh diselamatkan. Namun, ternyata Allah lebih menyayanginya,”.

Demikian kata Razma Botong, 36, yang sempat memeluk tubuh anak bongsunya buat kali terakhir selepas mangsa ditemukan dalam kejadian tanah runtuh yang berlaku semalam.

Bagaimanapun, anaknya, Norain Julaziz,11, disahkan meninggal dunia bersama sepupunya semasa menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth.

Beliau berkata, sembilan ahli keluarga termasuk tiga anaknya tertimbus di bawah runtuhan rumah keluarganya. Namun, hanya Norain dan bayi lelaki berusia dua tahun tidak berjaya diselamatkan.

“Semasa kejadian, saya baharu pulang daripada kerja dan saya terkejut melihat keadaan rumah bapa sudah roboh akibat tanah runtuh. Ketika itu, orang ramai sudah mula mengerumuni rumah tersebut.

“Apabila dimaklumkan anak perempuan saya berada di bawah runtuhan, saya meletak harapan yang tinggi agar dia ditemukan dalam keadaan masih hidup.

“Anak saya adalah mangsa terakhir ditemukan daripada empat mangsa yang tertimbus. Mungkin sudah ketentuan Allah, anak bongsu perempuan saya itu disahkan meninggal dunia di hospital,” katanya semasa ditemui di kawasan setinggan berhampiran Rumah Pangsa Taman Elok Bukit Nenas hari ini.

Mengulas lanjut katanya, beliau bertemu anaknya kira-kira pukul 9 pagi semalam semasa melawat ibu bapa dan anak-anaknya sebelum keluar bekerja. Ketika itu, Norain sedang bersarapan mi segera bersama air panas.

Razma berkata, beliau tidak melihat sebarang perubahan terhadap tingkah laku anaknya pada pagi semalam namun, anaknya itu sangat ceria sejak beberapa hari lalu.

Katanya, beliau reda dengan ujian yang menimpa keluarganya, mungkin Allah lebih sayangkan anak-anak mereka.

Sementara itu, bapanya Botong Jaafar,57, berkata, sebelum kejadian tanah runtuh itu, beliau berada di ruang tamu melihat empat cucunya sedang bermain selepas selesai makan malam pada pukul 8 malam.

“Kejadian itu berlaku dalam sekelip mata, saya terdengar bunyi yang kuat namun, tidak sempat berdiri pun untuk menyelamatkan diri. Malah, saya turut dihempap kayu tiang rumah.

“Dua cucu dan anak lelaki serta menantu saya tertimbus dalam kejadian itu. Ini kali pertama berlaku kejadian tanah runtuh selepas lebih 20 tahun kami tinggal di sini,” katanya.

Tambah beliau, pengebumian dua cucunya itu akan dilakukan di Kepayan selepas laporan polis dan prosedur hospital selesai.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN