Aaron Chia dinobatkan sekali lagi Olahragawan Melaka

Aaron Chia dinobatkan sekali lagi Olahragawan Melaka

AARON Chia menerima Anugerah Olahragawan daripada Mohd. Ali Mohd. Rustam pada Majlis Anugerah Sukan Negeri Melaka Ke-39 2023/2024 hari ini. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Jaguh beregu badminton lelaki negara, Aaron Chia dinobatkan sekali lagi sebagai Olahragawan Melaka manakala Olahragawati Melaka menjadi milik atlet wushu, Tan Cheong Min pada Majlis Anugerah Sukan Negeri Melaka Ke-39 2023/2024 di sini, hari ini.

Kejayaan itu membolehkan Aaron dan Cheong Min masing-masing menerima hadiah wang tunai RM3,000, piala dan sijil penghargaan.

Majlis disempurnakan Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam serta turut dihadiri Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.

Ia adalah anugerah kedua berturut-turut diraih oleh atlet kelahiran Batu Berendam itu selepas dianugerahkan sebagai Olahragawan Melaka 2021/2022.

Kejayaan itu melengkapkan pencapaian cemerlang Aaron selepas beliau dan pasangan regunya, Soh Wooi Yik dianugerahkan Olahragawan Kebangsaan pada Majlis Anugerah Sukan Negara (ASN), Mei lalu.

Pasangan kelima dunia itu dipilih daripada empat calon yang tersenarai atas kejayaan mempertahankan pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 dan meraih gangsa di Kejohanan Dunia 2023 di Copenhagen, Denmark serta muncul naib juara Kejohanan Badminton Terbuka Seluruh England (All England) 2024.

Aaron berkata, beliau gembira atas penganugerahan yang diterimanya buat kali kedua berturut-turut.

“Anugerah ini menyemarakkan semangat saya untuk bertanding di Sukan SEA Thailand bulan depan dan paling penting saya ingin menyumbangkan pingat emas.

“Mungkin gandingan saya dan Wooi Yik akan dipisahkan sebagai mencuba gandingan baru di Thailand nanti dan itu semuanya terserah kepada jurulatih,” katanya ketika ditemui.

Katanya, dia terbuka untuk bergandingan dengan Man Wei Chong atau Tee Kai Wun kerana kedua-dua mereka juga atlet kelahiran Melaka.

Ujarnya, beliau akan bergandingan semula dengan Wooi Yik bagi menghadapi Kejohanan Jelajah Dunia di Hangzhou, China pada Disember ini.

SENARAI PEMENANG:
Olahragawan: Aaron Chia (Badminton)
Olahragawati: Tan Cheong Min (Wushu)
Olahragawan Harapan: Lee Ronn (Wushu)
Olahragawati Harapan: Nurul Syasya Khairina Syamsur (Pencak Silat)
Persatuan Terbaik: Persatuan Badminton Negeri Melaka
Jurulatih Terbaik: Chai Chin Hin (Wushu), Mohd. Syahrizan Che Omar (Pencak Silat)
Anugerah Khas: Ramli Junit (Bola Sepak)
Ikon Lestari Sukan Negeri Melaka: Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×