Tiada tindakan pihak berwajib, penduduk baiki sendiri jambatan mendap - Utusan Malaysia

Tiada tindakan pihak berwajib, penduduk baiki sendiri jambatan mendap

PENDUDUK Kampung Sungai Taling membaiki sendiri jambatan di kampung berkenaan yang mendap sejak Disember tahun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEMPOL: Selepas tiada sebarang tindakan diambil pihak berwajib, penduduk di Kampung Sungai Taling di sini mengambil keputusan untuk membaiki sendiri sebuah jambatan di kampung itu yang mendap selepas berlakunya banjir besar pada Disember tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Lonek, Abdullah Ab. Rahman, 63, berkata, selepas kejadian banjir berkenaan, jambatan yang merentas Sungai Taling itu telah mendap dan hanya boleh dilalui oleh motosikal.

“Jambatan itu digunakan terutama anak-anak untuk ke sekolah dan penduduk ke masjid. Sejak kejadian itu, penduduk kampung terpaksa menggunakan laluan ladang getah sebagai laluan keluar dan masuk.

“Laluan itu juga agak jauh dan mengambil masa penduduk sehingga 15 minit dan gelap kerana ketiadaan lampu jalan.

“Saya sendiri telah memaklumkan kepada pihak yang terlibat supaya membina segera jambatan tersebut. Dimaklumkan sudah ada kelulusan peruntuka namun masih tiada tindakan sehingga ke hari ini,” katanya semalam.

Abdullah menambah, tidak mahu menunggu terlalu lama, penduduk kampung telah berikhtiar dan berjaya mengumpul derma sebanyak RM2,000 bagi tujuan menambak jambatan tersebut.

“Seramai 18 orang penduduk kampung berganding bahu menambak jambatan ini sepanjang enam meter menggunakan simen siap bancuh.

“Ia telah disiapkan dan buat sementara boleh digunakan namun kami masih berharap jambatan baharu yang lebih baik dan selamat dapat dibina.

“Walaupun kami telah membaikinya, kami masih bimbang dengan keselamatan penduduk yang menggunakannya terutama ketika waktu hujan seperti sekarang,” katanya yang memberitahu terdapat 35 buah rumah di kampung berkenaan yang melibatkan 180 orang penduduk. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN