Tiada maklumat berkaitan penahanan ahli MIC- Saravanan - Utusan Malaysia

Tiada maklumat berkaitan penahanan ahli MIC- Saravanan

M. SARAVANAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan mendakwa tiada maklumat mengenai penahanan ahli MIC berhubung penyelewengan Program Penjana Kerjaya (Penjana Kerjaya).

Beliau yang juga Timbalan Presiden MIC itu yang turut mengesahkan tiada sebarang operasi dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Kementerian Sumber Manusia (KSM).

“Tiada operasi dekat sumber manusia (KSM). Saya sudah kata semalam yang saya tidak ada laporan tetapi cuma kata sekiranya ada orang MIC kena tangkap jangan kaitkan dengan MIC.

“Setakat ini saya tiada maklumat, siapa kena tangkap siapa belum tangkap sila minta dekat SPRM, saya tiada jawapan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini. 

Setakat hari ini, SPRM sudah menahan 42 individu termasuk dua pada hari ini berhubung kes penyelewengan  Penjana Kerjaya.

SPRM dilaporkan menyiasat beberapa syarikat dan individu dan menjangka membuat beberapa tangkapan lain selepas menahan 37 individu dalam Op Hire.

Jumaat lalu, seorang kakitangan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) antara tiga individu ditahan SPRM selepas dipercayai terlibat menyeleweng RM100 juta dana itu.

Mereka disyaki mengambil kesempatan menggunakan platform program Penjana Kerjaya untuk membuat tuntutan palsu.

Antara yang ditahan terdiri pengarah, pemilik, pengurus dan jurutera melibatkan 26 lelaki dan 11 wanita berusia antara 28 hingga 70 tahun daripada 64 buah syarikat sendirian berhad.

Program Penjana Kerjaya merupakan inisiatif kerajaan bagi membantu majikan dan pekerja semasa mendepani cabaran Covid-19 bermula awal tahun 2020.

Program ini dilaksanakan oleh Perkeso bagi tujuan merangsang ekonomi negara dengan mewujudkan pekerjaan baharu, mengekalkan pekerjaan dan meningkatkan kemahiran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN