Sewa kuarters guru kepada agensi lain

Sewa kuarters guru kepada agensi lain

KUARTERS Pendidikan Tajar di Alor Setar yang terbiar hampir 10 tahun dipenuhi semak samun. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan sedia menimbang untuk membenarkan penjawat awam daripada agensi kerajaan lain menduduki kuarters guru yang terbiar sebagai salah satu jalan penyelesaian.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, kerajaan sedang berusaha mencari jalan menyelesaikan masalah kuarters terbiar itu termasuk melihat kemungkinan agensi kerajaan menggunakan kuarters berkenaan.

Katanya, isu berkenaan merupakan legasi lama, malah kos menyewa di luar yang lebih murah menjadi punca kuarters guru kosong.

“Malah kita teliti satu persatu kuarters ini berada di kawasan mana, apakah keperluan di kawasan ini. Berapa ramai guru yang boleh dibawa masuk atau akan masuk.

“Situasi tersebut bergantung kepada lokasi antara bandar dan luar bandar, di mana guru-guru yang bertugas di luar bandar lebih cenderung memilih menyewa di luar kuarters guru berbanding guru di bandar yang memilih kuarters sebagai langkah penjimatan,” katanya dalam sidang media selepas Program Eksplorasi Alam Sekitar di Zoo
Negara di sini, semalam.

Mengikut laporan Kementerian Pendidikan pada 2019, lebih 16,000 unit masih kosong daripada keseluruhan 50,257 kuarters guru yang dibina.

Daripada jumlah yang kosong itu hanya 6,302 unit berkeadaan baik dan boleh diduduki tetapi baki 10,062 unit lagi rosak dan tidak boleh didiami.

Maklum balas daripada guru-guru yang pernah dan sedang tinggal di kuarters tersebut turut mengeluh tentang kelemahan penyelenggaraan dan keadaan infrastruktur yang kebanyakannya rosak dan tidak dibaiki.

Malah, mereka juga terpaksa mengeluarkan duit sendiri untuk mengatasi masalah tersebut selepas aduan yang dibuat tidak mendapat perhatian pihak bertanggungjawab.
Isu tersebut turut menarik perhatian Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) yang menggesa kementerian segera membaiki kuarters guru yang terbiar dan menyewakannya kepada kakitangan awam lain.

Sementara itu, Radzi berkata, pihak kementerian akan meneliti secara mendalam bagi mengatasi masalah berkenaan supaya kuarters yang disediakan tidak terbiar.

“Kuarters guru ini ada yang dibina di tempat-tempat yang tiada permintaan dan ada juga kuarters guru yang dibina permintaan itu tinggi. Jadi bila kosong sahaja, mereka terus masuk. Namun begitu, ada kuarters yang bila kos duduk di luar lebih murah daripada kos kuarters.

“Malah kita teliti satu persatu kuarters ini berada di kawasan mana, apakah keperluan di kawasan ini, berapa ramai guru yang boleh dibawa masuk atau akan masuk atau kalau tidak masuk adakah agensi kerajaan lain berhampiran akan gunakan kuarters ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Radzi turut memaklumkan pihaknya akan menyerahkan cadangan menaik­kan kadar Rancangan Makanan Tambahan (RMT) kepada Kementerian Kewangan.

“Kita perlu ingat bila bercakap tentang kewangan atau peruntukan, kita berbincang dan cadangkan kepada Kementerian Kewangan tetapi yang paling penting setelah dianalisis semua aspek perkara berkaitan, kita amat melihat perkara ini perlu diberi keutamaan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN