Separuh Semenanjung bergelap

Separuh Semenanjung bergelap

KEADAAN dalam kompleks beli belah Suria KLCC berikutan kejadian terputus bekalan elektrik di Kuala Lumpur dan beberapa negeri ekoran kerosakan pada salah satu peralatan di Pencawang Masuk Utama (PMU) Yong Peng North, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lapan nege­ri terkesan dengan gangguan Nasib  yang berlaku selama tiga jam ekoran kerosakan salah satu peralatan di Pencawang Masuk Utama (PMU) Yong Peng North di Johor semalam.

Selain Kuala Lumpur dan Selangor, negeri lain terjejas adalah Kedah, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Melaka, Kelantan dan Pahang.

Antara kawasan yang terjejas ialah Petaling Jaya, Cheras, Bangi, Bayan Lepas, Seberang Jaya, Panchor dan Bandar Indera Mahkota.

Namun paling terkesan adalah Lembah Klang apabila gangguan itu turut menjejaskan perkhidmatan pengangkutan udara, darat dan telekomunikasi mudah alih manakala urusan pejabat tergendala buat sementara waktu.

Antara yang terlibat adalah bangunan terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) manakala perkhidmatan rel membabitkan transit aliran ringan (LRT) laluan Ampang/Sri Petaling.

PULIH

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Baharin Din berkata, keupayaan pihaknya memulihkan gangguan bekalan ekoran kerosakan salah satu peralatan Pencawang Masuk Utama (PMU) Yong Peng North, Johor adalah hasil pelaburan besar dan berterusan bagi menaik taraf sistem dengan sokongan Suruhanjaya Tenaga dan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli.

“Kerosakan di PMU Yong Peng North itu tidak melibatkan sebarang kebakaran dan PMU tersebut telah pun beroperasi sepenuhnya.

“TNB memberi jaminan bahawa bekalan elektrik di negara ini adalah berdaya harap dan stabil di mana gangguan bekalan mampu dipulihkan dalam tempoh segera seperti mana dibuktikan dalam kejadian gangguan bekalan di beberapa kawasan tengah hari semalam,” katanya dalam kenyataan semalam.

TNB memaklumkan gangguan bekalan yang bermula pada pukul 12.39 tengah hari itu berpunca daripada kerosakan di salah satu peralatan di PMU Yong Peng North.

Katanya, kejadian itu mengakibatkan kehilangan beban sebanyak 2.2 gigawatt (GW) yang merupakan 10 peratus daripada keseluruhan permintaan bekalan di Semenanjung Malaysia.

Kata TNB, pihaknya berjaya memulihkan sepenuhnya bekalan elektrik ke semua kawasan yang mengalami gangguan elektrik pada pukul 3.02 petang.

Walaupun boleh dianggap tidak serius, gangguan bekalan itu mengingatkan orang ramai terhadap kejadian yang berlaku pada 3 Ogos 1996, yang merupakan kejadian kali kedua selepas insiden serupa yang berlaku empat tahun sebelumnya iaitu pada 29 September 1992.

Insiden itu berpunca daripada kerosakan talian penghantaran berdekatan Stesen Janakuasa Sultan Ismail di Paka, Terengganu menyebabkan semua stesen jana kuasa di seluruh semenanjung gagal membekalkan kuasa elektrik.

Bekalan elektrik kembali pulih pada 4 Ogos 1996 pukul 9.30 pagi selepas 15 jam terputus bekalan.

Kejadian itu juga membawa kepada tindakan kerajaan meluluskan lima penjana kuasa bebas untuk menyertai perniagaan penjanaan elektrik bagi menge­lakkan insiden serupa berulang. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN