Rumah sembelihan Australia: Saksi dakwa label tak halal ditanggal

Rumah sembelihan Australia: Lagi saksi dakwa label tidak halal ditanggalkan

KEADAAN tempurung kepala haiwan yang didapati pecah akibat kesan menembak pelalian tekanan dan disahkan tidak halal tetapi ada ketika tag tidak halal ditanggalkan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seorang lagi bekas penyembelih tampil mengesahkan berlaku isu perlanggaran protokol halal rumah sembelihan di Brisbane, Queensland.

Mahu dikenali sebagai Ibrahim, dia membuat pengakuan itu kepada Utusan Malaysia menerusi persidangan video semalam yang memberitahu hanya sempat bekerja di situ selama tiga bulan
sebelum dipecat syarikat rumah sembelihan berkenaan.

Ia hanya kerana dia bertindak keluar awal pada hari Jumaat untuk ke masjid menunaikan solat Jumaat ketika tiba gilirannya mengikut jadual penggiliran solat antara semua penyembelih sebagaimana ditetapkan Akreditasi dan Pembangunan Halal Australia (AHDAA).

Namun, katanya, apa yang menyedihkan, badan penyelia rumah sembelihan itu tidak tampil mempertahan tindakan pemecatannya atau sekurang-kurangnya menyokong dia dalam situasi berkenaan demi menunaikan hak sebagai seorang muslim.

Ibrahim berkata, ketika tempoh dia bekerja, dia melihat sendiri bagaimana haiwan yang disahkan haram diluluskan semula sebagai halal selain terdapat pemeriksa bukan Islam ditugaskan membuat pemeriksaan kepala haiwan bagi pengesahan halal.

“Semasa saya bertugas sebagai pemeriksa kepala haiwan, saya sering diganggu oleh penyelia untuk mempertimbang semula keputusan jika saya menilainya sebagai tidak halal.

“Pernah saya melabelkan hanya 14 haiwan sebagai tidak halal tetapi pihak penyelia begitu marah dengan tindakan saya dan ini jelas menunjukkan syarikat mahu kejar keuntungan mengatasi pematuhan Islam.

“AHDAA mengetahui bagaimana pekerja dipersoal dan diganggu tugas oleh penyelia serta pengurus syarikat itu untuk melaksanakan tugas secara jujur, tetapi mereka tidak pernah membela kami. Sebaliknya hanya menganggap tidak ada apa-apa berlaku tanpa mengambil tindakan,” katanya di sini semalam.

Semalam, akhbar ini mendedahkan pengakuan seorang lagi bekas pekerja dikenali sebagai Umar tampil mengesahkan kejadian ketidakpatuhan kepada tuntutan syariah itu benar-benar berlaku seperti didedahkan saksi utama isu berkenaan, Osama kepada Utusan Malaysia sebelumnya.

Rumah sembelihan yang mendapat pengiktirafan halal AHDAA itu menggunakan kaedah stunning iaitu menem­bak pelalian tekanan bagi melemahkan haiwan sebelum disem­belih, namun cara berkenaan boleh mengakibatkan tempurung kepala haiwan pecah jika tidak dilakukan dengan betul, sekali gus membuktikan haiwan itu mati terlebih dahulu sebelum disembelih.

Mengulas lanjut, Ibrahim berkata, jumlah tempurung kepala haiwan yang pecah dan retak tidak boleh diterima sama sekali dan haiwan itu jelas terbukti telah mati sebelum disembelih yang mana sudah tentu tidak sempat untuk dibacakan Bismillah sebagai syarat sah sembelihan.

Namun katanya, jika pelekat tidak halal diletakkan pada haiwan yang gagal melepasi sah halal, maka jumlah haiwan yang diluluskan adalah lebih rendah sekali gus memberi kerugian besar kepada syarikat berkenaan.

Umar turut mendedahkan, pekerja penyembelih tidak dibenarkan memasuki ruang penyimpanan haiwan selain hanya boleh berada di tempat operasi penyembelihan.

Sedangkan, pekerja tahu haiwan halal dan haram tidak diasingkan termasuk mereka sedar terdapat bilik penyimpanan karton lembu turut ditempatkan bersama karton babi.

“Perkara ini tidak masuk akal dan perlu ditangani segera, bagaimana badan pensijilan halal AHDAA boleh menerima ini sebagai persekitaran penyembelihan yang ikut Islam? AHDAA seolah-olah menutup mata untuk menghapuskan pelanggaran pematuhan syariah dalam industri daging halal,” katanya.

Ibrahim berkata, syarikat terbabit hanya mempunyai seorang penyembelih halal dan pemeriksa kepala haiwan sekali gus amat mustahil tugas itu dilakukan oleh seorang pekerja dan berisiko tugas berkenaan dibuat sambil lewa.

Tandatangan elektronik pada dokumen halal turut menjadi isu apabila ia ditandatangani oleh penyelia bukan Islam tanpa menyemak terlebih dahulu dengan penyembelih muslim yang bertugas.

AHDAA banyak memberi perakuan halal rumah penyembelihan di Queensland selain beberapa tempat di Victoria dan New South Wales, justeru, isu keraguan pematuhan halal ini besar kemungkinan turut berlaku di tempat tersebut.

Ketiga-tiga bekas pekerja itu memberitahu, mereka sudah membuat akuan bersumpah kepada pihak berkuasa bagi membuktikan pengakuan mereka bukan satu rekaan.

Utusan Malaysia telah meng­hubungi pusat sembelihan itu bagi mendapatkan maklum ba­las. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN