Rujuk Tabung Haji dahulu sebelum dapatkan pakej haji agensi luar - Utusan Malaysia

Rujuk Tabung Haji dahulu sebelum dapatkan pakej haji agensi luar

IDRIS AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Orang ramai perlu mendapat nasihat terlebih dahulu daripada Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) jika ingin menunaikan ibadah haji dengan agensi luar bagi mengelak tertipu. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, beliau akui kecewa dengan insiden membabitkan 400 bakal jemaah haji yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam. 

Beliau berkata, insiden itu tidak sepatutnya berlaku, apatah lagi ia melibatkan urusan rukun Islam yang perlu dipandang berat oleh semua umat Islam, termasuk pihak agensi yang menguruskan jemaah haji. 

“Saya mengambil maklum berkenaan isu bakal jemaah haji yang terkandas di KLIA dan Hotel Movenpick KLIA melibatkan hampir 400 orang. 

“Saya juga dimaklumkan beberapa laporan polis dibuat terhadap perkara ini dan tindakan pihaknya juga telah dimulakan bagi proses siasatan. 

“Sekiranya terdapat sebarang unsur penipuan, pihak yang terbabit perlu dibawa ke muka pengadilan dan diberikan hukuman setimpal sebagai pengajaran,” katanya menerusi kenyataan hari ini. 

Katanya, beliau memohon kepada pihak yang teraniaya supaya tabah dan terus mengambil peluang pada Hari Arafah untuk bermunajat dan mendapatkan keredaan Allah, walaupun tidak dapat hadir menunaikan haji di Tanah Suci Mekah. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Imran Abd Rahman ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima 17 laporan polis berhubung jemaah terkandas itu setakat 4.30 pagu tadi.

Menurutnya, laporan berkenaan dibuat oleh mangsa dan ahli keluarga mangsa masing-masing di Setapak, Kajang dan KLIA, malah, dijangka jumlah laporan itu akan meningkat.

“Siasatan awal mendapati, lebih 300 jemaah haji terkandas di KLIA dan siasatan akan dilakukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. 

Sebelum ini, lebih 380 jemaah Haji terkandas di KLIA  ekoran tidak dapat berlepas ke Jeddah, Arab Saudi pada malam Khamis dipercayai menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pelancongan.

Mereka yang berkumpul di Aras 5, Balai Pelepasan KLIA dipercayai menggunakan visa furada untuk menunaikan haji dan tidak melalui Tabung Haji. 

Visa furada ialah visa yang diuruskan sendiri dan dilaporkan dikeluarkan oleh Arab Saudi, tanpa membabitkan jumlah kuota yang diperoleh Tabung Haji. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN