RM1j diagih kalangan Exco Armada

RM1j diagih kalangan Exco Armada

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bersama barisan peguamnya berbincang di luar bangunan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas perbicaraan kes beliau, semalam. – UTUSAN/WAN REDZA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini diberitahu, wang RM1 juta yang dikeluarkan daripada akaun Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah diagih-agihkan dalam kalangan exconya, sehari selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dan menggeledah kediaman Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Penguasa Kanan SPRM Mohd. Syahmeizy Sulong, 37, berkata, wang itu diagih-agihkan pada 1 April 2020 manakala rumah Ahli Parlimen Muar itu digeledah pada 31 Mac 2020 berkaitan siasatan kehilangan RM250,000 daripada kediaman beliau.

Ujarnya, sebanyak RM650,000 diberikan kepada Ketua Pene­rangan Pemuda Bersatu Wi­layah Persekutuan, Muhammad Da­niel Kusari manakala RM250,000 diserahkan kepada ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Muhammad Naqib Ab. Rahim.

Mahkamah sedang mendengar perbicaraan terhadap Syed Saddiq, 29, atas pertuduhan pindaan bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali melakukan pecah amanah dana berjumlah RM1 juta sebuah parti politik.

Pegawai penyiasat bagi kes penyelewengan dana Armada pusat itu berkata, siasatan mendapati RM1 juta yang dikeluarkan pada 6 Mac 2020, terlebih dahulu disimpan di rumah Rafiq yang ketika itu Penolong Bendahari Armada.

Menurut saksi pendakwaan ke-25 itu, pada 31 Mac, Syed Saddiq kemudian menghubungi Rafiq dan mengarahkan beliau membawa keluar wang itu daripada rumahnya kerana risau akan dijumpai dan disita oleh SPRM.

Mohd. Syahmeizy berkata, hasil siasatan mendapati Syed Saddiq pada awalnya mengarahkan dua pemegang amanah Armada iaitu Rafiq dan Penolong Setiausaha Armada, Ahmad Redzuan Mohamed Shafi mengeluarkan wang itu daripada akaun di CIMB KL Sentral.

Menurut saksi, cek pengeluaran ditandatangani oleh Rafiq dan Ahmad Redzuan kerana Syed Saddiq tidak mempunyai masa ke bank selain tanda tangannya sering berubah ketika menandatangani cek.

Ketika ditanya oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Asyraf Mohamed Tahir, pegawai SPRM itu berkata, Syed Saddiq mengeluarkan arahan pengeluaran wang kerana merasakan kedudukannya dalam Pakatan Harapan (PH) tidak kukuh.

Ujarnya, Ahmad Redzuan mencadangkan wang itu diagihkan kepada Muhammad Daniel kerana beliau mempunyai peti besi di rumahnya selain turut disimpan oleh Muhammad Naqib yang merupakan ahli perniagaan.

Menurut pegawai penyiasat itu, pada 5 Mac 2020 pihak SPRM menggeledah rumah Muhammad Daniel dan menemukan wang RM425,537 manakala bakinya telah diagih kepada ke­tua-ketua bahagian dan ahli-ahli Armada seluruh negara.

Saksi berkata, idea pengeluaran wang itu dibangkitkan selepas insiden ‘Langkah Sheraton’ pada 23 Februari 2020 ketika Syed Saddiq dan beberapa pemimpin Armada mengadakan pertemuan di kediaman beliau di Petaling Jaya bagi membincangkan dana dalam akaun tersebut.

Ujar Mohd. Syahmeizy, Syed Saddiq amat risau terhadap pergolakan selepas `Langkah Sheraton’ dan meminta kepastian baki wang dalam akaun Armada Pusat yang merupakan hasil titik peluhnya sepanjang berjawatan Ketua Armada.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, saksi menafikan wujud konspirasi untuk mengenakan Syed Saddiq seperti didakwa oleh pihak pembelaan.

Saksi turut ditanya mengapa Syed Saddiq dituduh kali pertama pada 22 Julai 2021 sedangkan izin untuk mendakwa dikeluarkan pada 4 Januari tahun sama.

Ujarnya, bagi siasatan terhadap Syed Saddiq, pihak SPRM telah membuka lima kertas siasatan yang berbeza aduan dan maklumat.

“Oleh itu, pertuduhan terhadapnya dibuat terlalu lama kerana saya memerlukan keterangan saksi yang ‘synchronize’ dengan kertas siasatan lain kerana ketika itu ada kertas siasatan yang belum siap ke atas Syed Saddiq,” kata saksi.

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid bersambung hari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN