SHAH ALAM: Pencarian bekas personaliti TV3, Zalina Azman akan diperluaskan di luar kawasan Shah Alam iaitu sekitar Lembah Klang.
Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Ras Adiba Radzi berkata, beliau akan memastikan rakan baiknya dalam keadaan selamat walaupun sehingga kini tiada perkembangan positif daripada polis dalam pencariannya sebelum ini.
“Saya sudah mencari Zalina di sekitar Shah Alam dan Bangsar sejak tiga hari lalu.
“Selepas ini, saya akan cari dia di tempat lain sambil berharap Zalina ditemui dalam keadaan selamat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, hari ini.
Utusan Malaysia Selasa lalu melaporkan berhubung kehilangan Zalina Shaharah Azman, 58, yang hilang sejak November tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim pada hari ini memaklumkan bahawa polis telah memanggil enam ahli keluarga Zalina bagi membantu siasatan kes itu.
Dalam pada itu, Ras Adiba turut memberitahu bahawa dia telah hadir ke rumah Zalina di Seksyen 3, di sini pagi tadi bagi melihat sendiri keadaan rumah berkenaan.
Sementara itu, beliau memaklumkan bahawa telah meneliti beberapa keping gambar wanita mirip Zarina yang diviralkan beberapa pihak.
“Saya boleh sahkan bahawa kesemua gambar itu bukan Zalina kerana rupa mereka agak berbeza dengannya.
“Apapun, saya merayu kepada masyarakat sekiranya mereka ada nampak wanita mirip Zarina, tolong ambil gambar atau video dan terus buat laporan polis supaya polis boleh buat siasatan lanjut,” tegasnya.
Ujar Ras Adiba, beliau sedia bekerjasama dengan pihak polis dengan menyalurkan apa-apa maklumat berhubung kes itu kepada mereka. –UTUSAN ONLINE