Pusat Sehenti Kuarantin Negara kawal biosekuriti 

Pusat Sehenti Kuarantin Negara kawal biosekuriti 

RONALD Kiandee melihat barangan akan dieksport ke luar negara ketika membuat tinjauan operasi pemeriksaan dan penguatkuasaan Maqis di KLIA Kargo, Sepang, Selangor. -UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Kerajaan bersetuju mewujudkan Pusat Sehenti Kuarantin Negara (OSQC) di pintu masuk utama pengimportan dan pengeksportan negara tidak lama lagi bagi memperkukuhkan kawalan biosekuriti.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, Jawatankuasa Sekuriti Makanan Negara  yang bermesyuarat minggu lalu bersetuju supaya OSQC itu diwujudkan di Pelabuhan Klang, Selangor. 

Beliau berkata, kementerian menerusi Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) kini dalam proses pelarasan antara pelbagai agensi berkaitan. 

“OSQC menyediakan fasiliti kuarantin dan keselamatan agro makanan yang bersepadu termasuk pemeriksaan, rawatan kuarantin, pengujian, penyelidikan, pemantauan dan pelupusan ke atas komoditi pertanian dan produk agro makanan,” katanya. 

Beliau berkata demikian selepas meninjau operasi import eksport produk pertanian di Kompleks Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini hari ini. 

Katanya, peralatan berteknologi tinggi, automasi, moden dan standard akan digunakan bagi membantu Maqis memastikan matlamat kawalan biosekuriti tercapai.

Ronald berkata, pemeriksaan di OSQC ini akan menjadi lebih cepat dan terperinci selain menjadi benteng utama bagi menjaga jaminan bekalan dan keselamatan makanan khususnya keluaran pertanian yang diimport ke dalam negara.

Menurutnya, Maqis juga akan memastikan isu melibatkan aspek halal, keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak atau penyakit berbahaya yang boleh mengancam industri pertanian serta penternakan negara dapat dibendung.

Dalam perkembangan sama, Ronald berkata, pihaknya berhasrat untuk menambah kakitangan Maqis bagi memenuhi keperluan penguatkuasaan di pintu masuk negara. 

“Ketika ini, Maqis mempunyai 450 anggota penguat kuasa yang kini bertugas di 57 pintu masuk negara termasuk pelabuhan dan udara. 

“Kami masih dalam proses untuk mendapat persetujuan dan kelulusan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi menambah anggota penguatkuasa Maqis itu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN