PETALING JAYA: Satu siasatan dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung insiden kekecohan yang berlaku di pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sungai Buloh di Kota Damansara malam tadi.
Mengesahkan perkara itu kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, siasatan itu dijalankan selepas satu laporan diterima pihaknya awal pagi ini di Balai Kota Damansara mengenai kejadian.
Kata beliau, laporan itu telah dibuat oleh salah seorang ahli yang terlibat dalam mesyuarat berkenaan malam tadi.
“Pengadu berkenaan tampil membuat laporan mendakwa mesyuarat berkenaan telah diganggu oleh seorang individu lain.
“Bagaimanapun, tiada sebarang kekecohan berlaku sebaliknya hanya ketidakpuasan hati sesama mereka,” katanya hari ini.
Mengulas lanjut, kata Mohamad Fakhrudin, siasatan lanjut masih dijalankan dan setakat ini tiada mana-mana individu dipanggil lagi untuk diambil keterangan.
“Kita baru dapatkan maklumat daripada pengadu dan individu yang mengganggu berkenaan dalam proses dikenal pasti,” jelasnya.
Terdahulu, satu portal media melaporkan, kejadian pukul 9.40 malam itu berlaku ketika cabang PKR itu baru sahaja menangguhkan mesyuarat pimpinan pertamanya, yang diadakan selepas pemegang jawatan baru diumumkan sebagai pemenang dalam pemilihan parti baru-baru ini.
Difahamkan laporan berkenaan dibuat selepas mendakwa seorang polis yang tidak bertugas dan bekerja sebagai pemandu kepada seorang ahli politik terkemuka, telah menceroboh masuk ke bilik mesyuarat tanpa kebenaran.
Lelaki itu kemudian didakwa cuba memaksa beberapa ahli jawatankuasa cabang mengikutinya untuk perbincangan di tingkat bawah.
Terdapat dakwaan dia membawa ‘stun gun’ dan diiringi dua lagi anggota polis berpakaian biasa. – UTUSAN