KOTA BHARU: Polis Kelantan menuntut pegawai dan anggota lebih maju ke hadapan dalam membanteras jenayah terutama melibatkan corak pemanduan unit rondaan kereta peronda polis (MPV).
Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, kemahiran mengendalikan MPV amat penting bagi memastikan penugasan mengekang jenayah berjaya mencapai objektif dalam usaha mewujudkan persekitaran selamat dalam kalangan masyarakat.
“Kita mahu semua anggota MPV diberikan kemahiran yang secukupnya kerana kumpulan ini turut terlibat dalam penugasan membanteras jenayah.
“Oleh sebab itulah, kita perlu memberi latihan berkaitan supaya lebih maju ke hadapan dalam penugasan masing-masing sebagai usaha menangkap penjenayah di negeri ini,” katanya selepas merasmikan Majlis Penutup Pemanduan MPV Siri 01/2022 di padang kawat Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) di Pengkalan Chepa di sini hari ini.
Tambahnya, setakat ini Polis Kelantan mempunyai lebih 100 kenderaan MPV di seluruh negeri bagi menjalakan tugas berkaitan pencegahan jenayah dan sebagainya.
Seramai 27 peserta melibatkan anggota seluruh Kontinjen Kelantan yang mendapat tunjuk ajar daripada lima jurulatih mengikuti kursus tersebut selama enam hari.
Antara pengisian kursus itu adalah mengendali kenderaan dan pertahanan diri, kelas mempertahankan diri, latihan menggunakan senjata api iaitu tembakan statik jarak lima meter, latihan menembak taktikal kenderaan di hadapan dan melintang, latihan tembak waktu malam, teknik tangkapan dan pemeriksaan tubuh badan serta arah tembak dan memberhentikan kenderaan suspek dan MPV. –UTUSAN ONLINE