Perniagaan hampir musnah, Siti bangkit bela puyuh - Utusan Malaysia

Perniagaan hampir musnah, Siti bangkit bela puyuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Sebelum ini, Siti Noorhasmah Mohd. Baharuddin, 29, pernah terkesan teruk selepas perniagaan percetakan diusahakannya hampir musnah ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dua tahun lalu.

Bagaimanapun ujian yang dihadapi anak kelima daripada enam beradik ini tidak membuatkannya berputus asa apabila tekad bangkit menceburi bidang penternakan puyuh yang diusahakan di kediamannya sekitar Felda Mata Ayer, di sini.

Usaha Siti Noorhasmah yang merupakan pengasas Puyuh Kayangan Enterprise itu berjaya membuahkan hasil apabila mampu memiliki ladang ternakan sendiri meliputi tempat pembesaran anak dan pembakaan puyuh.

“Saya memulakan penternakan puyuh ini pada November 2020 dan sehingga kini mampu membekalkan sekitar 4,000 ekor sebulan.

“Alhamdulillah, meskipun pernah jatuh dalam tempoh PKP ekoran pandemik Covid-19 sebelum ini, namun ia tidak mematahkan semangat saya untuk mencuba bidang baharu dalam sektor penternakan ini,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di sini semalam.

Tambah Siti Noorhasmah, selain memasarkan daging puyuh, dia turut membekalkan telur dan menghasilkan benih haiwan berkenaan.

Katanya, dia juga kerap mendapat tempahan puyuh daripada beberapa pihak dari luar negeri ini dan pengusaha restoran.

“Permintaan puyuh ini sememangnya amat tinggi dan berpotensi malah ada ketikanya bekalan tidak mencukupi,” katanya.

Tambah Siti Noorhasmah, dia merancang meningkatkan penghasilan anak dan telur puyuh selepas ini susulan permintaan tinggi orang ramai.

“Saya lebih fokus jualan kepada pemborong dan buat masa ini tempahan paling banyak diterima dari Pulau Langkawi berikutan ia adalah lokasi pelancongan tumpuan di negara ini,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya