Pengecualian duti setem rumah pertama

Pengecualian duti setem rumah pertama

Ismail Sabri Yaakob melihat pameran sempena perasmian HOPE dan Karnival Jom Beli Rumah di Pusat Pameran Midvalley, Kuala Lumpur, semalam. Turut hadir Reezal Merican Naina Merican (kanan). – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan me­ngumumkan inisiatif pemilikan perumahan i-Miliki yang menawarkan pengecualian duti setem sebanyak 50 hingga 100 peratus bagi pembelian rumah pertama berkuat kuasa 1 Jun 2022 hingga Disember tahun hadapan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Is­mail Sabri Yaakob ketika me­ngumumkan insentif itu berkata, ia membabitkan pemberian in­sentif ke atas surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman bagi pembelian rumah pertama, secara peringkat harga ru­mah.

Katanya, langkah itu sebagai usaha mendukung Program Pe­milikan Kediaman (HOPE) selaras dengan gagasan ‘Satu Keluarga Satu Rumah’ sekali gus memudahkan pemilikan rumah dalam kalangan rakyat.

“HOPE bukan sahaja membantu mempromosi perumahan untuk segenap lapisan ma­sya­rakat, tetapi juga bagi melihat ekosistem sektor perumahan secara holistik.

“Bagi rumah berharga RM500,000 dan ke bawah, insentif pengecualian duti setem adalah sebanyak 100 peratus. Bagi rumah berharga melebihi RM500,000 sehingga RM1 juta, insentif pengecualian 50 peratus.

“Pengecualian itu adalah ba­gi perjanjian jual beli yang disempurnakan dalam tempoh mulai 1 Jun 2022 sehingga Di­sember 2023,” katanya ketika berucap merasmikan HOPE dan Karnival Jom Beli Rumah di Pusat Pameran Midvalley di sini, semalam.

Menurut Ismail Sabri, pem­be­rian pengecualian itu juga me­rupakan antara usaha yang dilakukan kerajaan dalam memudahkan pemilikan rumah da­­lam kalangan rakyat.

Beliau berkata, insentif ber­kenaan yang diperkenalkan sejak Kempen Pemilikan Rumah (HOC) dimulakan pada 2019 hingga 2021, masih diteruskan bagi pembelian rumah pertama bernilai sehingga RM500,000 sehingga 31 Disember 2025.

“Meskipun pengecualian duti setem ini akan mengurangkan kutipan hasil kepada negara, namun saya ingin menegaskan bahawa tindakan tersebut merupakan komitmen kita kepada Keluarga Malaysia dan kerajaan harus memperkukuhkannya.

“Untuk rekod, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memaklumkan bahawa tuntutan pengecualian duti setem di bawah HOC adalah sebanyak RM957.8 juta. Malah, tuntutan pengecualian duti setem paling tinggi adalah bagi harga rumah RM500,000 dan ke bawah,” katanya.

Dalam pada itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, HOPE merupakan satu keazaman kementerian dalam mengangkat agenda memperjuangkan pemilikan rumah terutama­nya rumah mampu milik buat rakyat.

Katanya, HOPE menjadi jendela baharu dalam memudah cara terutamanya kepada kumpulan sasaran golongan B40, M40 serta anak muda.

“Suka untuk saya berkongsi bahawa 368,000 unit rumah telah diletakkan sebagai komitmen daripada pelbagai pihak dengan sebahagiannya sedang dibina dan selebihnya dalam pelbagai peringkat pelaksa­naan.

“InsyaAllah kementerian komited untuk meningkatkan bekalan Rumah Mampu Milik (RMM) sebanyak 500,000 unit rumah menjelang tahun 2025,” jelasnya.

Beliau berkata, kementeriannya juga sedang membangunkan pemetaan Indeks Harga Rumah Mampu Milik bagi setiap lokaliti di seluruh negara.

Katanya, ia sebagai panduan kepada pemaju, bakal pembeli serta pihak berkuasa tempatan dalam penentuan harga rumah mampu milik yang sewajarnya di sesuatu kawasan atau lokasi.

Karnival Jom Beli Rumah yang bermula semalam tidak akan terhenti di ibu negara sahaja, malah bakal menemui segenap lapisan Keluarga Malaysia di utara, pantai timur, selatan membawa sehingga ke Wilayah Sabah dan Sarawak.

Siri Jelajah Karnival Jom Beli Rumah itu juga bakal membawa bersama stok lebih 130,000 rumah mampu milik di seluruh negara.

Karnival itu juga menyediakan tawaran istimewa terma­suklah sekurang-kurangnya 10 peratus diskaun tambahan, pengurangan atau bayaran guaman percuma, kemudahan bayaran 10 peratus deposit secara ansuran serta banyak insentif lain. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN