JEMPOL: Penduduk di 80 buah rumah di kawasan Felda Palong 2, di sini, kecewa apabila masalah bekalan air yang membelenggu penduduk sejak lebih 30 tahun lalu masih belum dapat diatasi sehingga ke hari ini.
Menambah resah, penduduk di Blok 9 sehingga 12 di kawasan tanah rancangan tersebut yang berada di kawasan tinggi mengalami masalah ketiadaan air sejak hari Isnin lalu meskipun Hari Raya Aidiladha bakal disambut pada hujung minggu ini.
Seorang penduduk, A. Rahman Jaaffar, 67, berkata, dia merupakan antara peneroka terawal mendiami penempatan berkenaan iaitu sekitar tahun 1975 dan pada masa itu, bekalan air diperoleh dari saluran paip yang dipasang dari dalam kebun getah.
Menurutnya, kini, bekalan air penduduk adalah dari Londah serta Pasir Besar, namun, masalah gangguan air akan muncul setiap kali cuti sekolah dan waktu perayaan sehingga mengundang rasa tidak selesa.
“Saya kasihan kepada keluarga yang mempunyai ramai bilangan anak, mereka terpaksa menyimpan air dalam jumlah yang banyak bagi mengelak keputusan bekalan.
“Saya harap sangat agar masalah ini dapat diselesaikan terutamanya membabitkan paip-paip lama yang masih belum ditukar di kawasan Felda ini. Seperti di kawasan rumah saya ini, memang paip sudah ganti baharu, tapi, bekalan air masih terganggu berikutan paip pecah di lokasi lain,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Jabatan Komunikasi Korporat, Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn. Bhd. (Sains), Norzita Ismail berkata, gangguan bekalan air di Gugusan Palong yang berlaku dua minggu lepas adalah berpunca dari sumber bekalan air sungai (air mentah) yang masuk ke Loji Rawatan Air (LRA) Pasir Besar berkurangan berpunca dari tebing sungai di muka sauk LRA Pasir Besar yang runtuh.
Menurutnya, keadaan itu menyebabkan loji hanya dapat memproses bekalan air terawat sebanyak 50 peratus sahaja.
“Kawasan terlibat gangguan adalah Gugusan Palong 2,3,4,5 dan 6 yang merupakan kawasan tinggi serta Palong 7 hingga 16. Sepanjang berlaku gangguan, Sains telah mengambil beberapa langkah bagi mengatasi masalah tersebut sebagai usaha meminimumkan gangguan pada kawasan terlibat.
“Sains telah membuat kawalan aliran air dari kolam Londah untuk menstabilkan bekalan pada paras yang optimum untuk diguna pakai bagi kedua-dua daerah Tampin dan Jempol.
“Kami juga menjalankan pam secara bergilir pada sebelah malam di LRA Pasir Besar sebagai bekalan ke Tampin (Jelai) dan Jempol (Palong 5). Selain itu, kerja-kerja pembersihan pasir di muka sauk loji juga dilakukan bagi membantu menambahkan kadar alir air masuk.
“Sains terus mengambil tindakan segera dengan membuat penghantaran air melalui lori tangki di premis-premis kediaman yang memerlukan,” katanya. –UTUSAN ONLINE