Penduduk bergadai nyawa meniti saluran paip pulang dari sekolah - Utusan Malaysia

Penduduk bergadai nyawa meniti saluran paip pulang dari sekolah

SALURAN paip yang digunakan sebagai alternatif untuk menyeberang Sungai Biah, Keningau
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Mendukung anak di belakang sambil meniti saluran paip ketika pulang dari sekolah semasa air sungai pasang sudah menjadi rutin penduduk Kampung Mansiang Baru, Keningau setiap kali musim hujan.

Apabila hujan lebat, jambatan aras rendah yang menjadi satu-satunya laluan menghubungkan kampung itu dengan jalan utama akan ditenggelami air Sungai Biah.

Penduduk kampung, Suhainin Lait,30, berkata, sudah berpuluh tahun mereka berhadapan situasi terkandas di seberang sungai semasa musim hujan apabila paras air sungai meningkat.

Namun, sejak dua tahun lalu, apabila paras air sungai meningkat, penduduk terpaksa meniti saluran paip Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) untuk pulang ke rumah selepas mengambil anak dari sekolah.

“Sebelum ini, jika hujan daripada awal pagi, kami tidak akan menghantar anak ke sekolah kerana tidak mahu membahayakan nyawa mereka untuk meniti saluran paip.

“Namun, apa yang berlaku pada Selasa lalu, hujan lebat turun semasa murid berada di sekolah. Itu sebabnya penduduk kampung terpaksa meniti saluran paip untuk pulang ke rumah kerana air sungai sudah naik setinggi dua meter.

“Kami tidak dapat menunggu sehingga air sungai surut untuk menyeberang melalui jambatan aras rendah kerana hari semakin gelap,” katanya semasa ditemui hari ini.

Menurut beliau, dalam tempoh sebulan, ada beberapa kali anak-anak penduduk di kampung itu tidak bersekolah semasa musim hujan.

Beliau berharap pembinaan jambatan di kampung itu akan dipercepatkan kerana ia keperluan mendesak bagi penduduk di sini.

“Masalah kemudahan lain tidak begitu mendesak, apa yang mengecewakan penduduk kampung adalah tiada jambatan. Kalau musim hujan, semua urusan akan tergendala termasuklah penghantaran hasil kebun ke pekan,” katanya.

Sementara itu, Steven Aloy, 64, berkata, pembinaan jambatan konkrit di kampung itu amat diperlukan bagi memudahkan penduduk kampung keluar menghantar anak ke sekolah semasa musim hujan.

Katanya, mereka turut berhadapan kesukaran apabila berlaku kecemasan untuk ke hospital semasa musim hujan kerana terpaksa menunggu air sungai surut untuk melalui jambatan aras rendah.

“Sebelum tanah-tanah di sini dibuka, paras air sungai tidak cepat naik namun, apabila tanah mula dibuka, jambatan aras rendah itu mudah tenggelam. Masalah sebegini sudah berlanjutan selama lebih 40 tahun,” katanya. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN