Penceramah bebas dicekup dakwa rogol gadis bawah umur

Penceramah bebas dicekup, dakwa rogol gadis 14 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang penceramah bebas bergelar ustaz dicekup selepas disyaki merogol seorang remaja perempuan berusia 14 tahun di beberapa lokasi. 

Lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor, kira-kira pukul 4.50 petang semalam. 

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S. Sasikala Devi berkata, tangkapan dilakukan susulan laporan polis berkaitan kes rogol berkenaan dibuat mangsa pukul 11.15 malam, Sabtu lalu.

“Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai berkenalan dengan suspek sejak Mei tahun lalu.

“Bermula perkenalan itu, pengadu dan suspek beberapa kali melakukan hubungan intim di lokasi yang berbeza,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas beliau, bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Kuala Selangor menahan suspek bagi membantu siasatan.

“Polis turut mendapat kebenaran reman selama lima hari sehingga 23 Julai ini daripada Mahkamah Majistret Sungai Besar.

“Siasatan lanjut ke atas penceramah itu masih sedang dijalankan,” ujarnya.

Kata Sasikala, kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

“Setakat ini, empat kertas siasatan dibuka iaitu dua di Selangor dan masing-masing satu di Kuala Lumpur dan Perak.

“Kesemua siasatan berkenaan melibatkan remaja perempuan yang sama,” katanya.

Tambah beliau, kedua-dua seksyen kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN