KOTA TINGGI: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan kerajaan akan terus membela kebajikan rakyat termasuk warga Felda dalam mendepani kesan krisis global susulan konflik perang melibatkan Israel, Amerika Syarikat (AS) dan Iran.
Menurut beliau, kerajaan maklum dengan peningkatan pelbagai kos termasuk bahan api yang sedang dihadapi golongan termasuk peneroka, petani dan nelayan ketika ini.
“Harga baja import, urea, potassium semua naik, ini kenaikan dunia, bukan kerajaan naikkan. Bukan mahu mengeluh tetapi ini kita perlu terima kenyataan. Subsidi minyak ditambah sehingga cecah RM6 bilion sebulan, ia akan jadi RM60 bilion dalam tempoh 10 bulan, sebagai Perdana Menteri saya akan cari apa sahaja cara yang mungkin untuk selesaikan.
“Kita tidak boleh kawal perang atau harga dunia, tetapi kita boleh ambil langkah untuk kurangkan beban rakyat. Walaupun kos meningkat, kita tetap pertahankan supaya rakyat tidak terbeban seperti di negara lain yang berdepan harga bahan api jauh lebih tinggi.
“Selama beberapa tahun ini kita telah selamatkan lebih RM15 bilion wang rakyat yang hilang melalui ketirisan. Ini rakyat termasuk di kampung kena tahu, wang itu sebelum ini hilang ditangan orang tertentu, ini kita kena hentikan, sebab itu kita kena guna kuasa politik, sosial dan kerja untuk selesaikan isu ini,” katanya pada Program Perdana Menteri Bersama Warga Peneroka Felda di Felda Semenchu, di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri, Datuk Zahari Sarip dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Sementara itu, Perdana Menteri turut memberikan komitmen untuk memudahkan pelaksanaan projek-projek berkaitan Felda termasuk isu melibatkan rumah bagi generasi kedua peneroka Felda.
“Hal berkaitan Felda, kita minta Pengerusi Felda untuk bawa dalam mesyuarat, apa yang kita mungkin boleh tolong rakyat termasuklah keluarga peneroka Felda, InshaAllah saya akan lakukan sedaya upaya, itu doa saya dahulu untuk bawa perubahan kepada hidup rakyat.
“Apa sahaja yang munasabah untuk peneroka Felda walaupun mungkin terbantut dengan krisis ekonomi, kita akan cuba bantu kerana perkara tersebut tidak membebankan ekonomi negara,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM500,000 kepada Felda Semenchu bagi menaik taraf pelbagai kemudahan asas di kawasan berkenaan termasuk sekolah, masjid serta surau.
“Walaupun tiada permohonan khusus dibuat, saya melihat ada keperluan di kawasan ini dan kerajaan akan pastikan bantuan disalurkan demi kesejahteraan rakyat,” katanya. – UTUSAN










