Kemarau: Kelantan agih pam bergerak, palet makanan ternakan

Kemarau: Kelantan agih pam bergerak, palet makanan ternakan

TUAN Mohd. Saripudin Tuan Ismail (dua, kiri) menunjukkan hasil padi yang diusahakan di Desa Gemalai Baruh Padi Alami di Lubok Jambu, Kota Bharu, Kelantan. - UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kerajaan negeri menggerakkan bantuan awal dengan mengagihkan pam air bergerak dan palet makanan ternakan bagi memastikan sektor pertanian negeri ini terus bertahan dalam berdepan musim kemarau.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi negeri, Datuk Tuan Mohd. Saripudin Tuan Ismail berkata, langkah proaktif itu dilaksanakan ketika keadaan hasil pertanian masih terkawal, sekali gus berjaya mengelakkan kerugian lebih besar dalam kalangan pesawah dan penternak.

Katanya, setakat ini sebanyak 20 pam bergerak telah diagihkan, manakala permohonan tambahan sedang diproses.

“Usaha menyedut air dari Sungai Kelantan serta penggunaan pam bergerak membantu menyelamatkan sebahagian besar tanaman padi, walaupun terdapat kerosakan kecil akibat gelombang haba.

“Kita ambil langkah awal ketika keadaan masih terkawal supaya kesan kemarau tidak menjadi lebih buruk,” katanya selepas merasmikan penutupan Bengkel Koperasi Pertanian Al-Falah di Desa Gemalai Baruh Padi Alami, Lubok Jambu, di sini hari ini.

Tuan Saripuddin memberitahu, pihaknya turut menjalin kerjasama dengan Jabatan Pertanian, Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) dan beberapa agensi berkaitan bagi memastikan penjadualan pertanian lebih tepat serta bersesuaian dengan perubahan cuaca. 

Katanya, kerajaan negeri juga akan terus memantau situasi semasa industri pertanian dan penternakan di negeri ini yang turut menerima kesan daripada kenaikan harga diesel susulan konflik di Asia Barat.

“Kita pantau situasi semasa melalui laporan daripada jawatankuasa khas dan setiap Dewan Undangan Negeri (DUN). Kita akui konflik di Asia Barat memang beri kesan terhadap kenaikan kos input pertanian seperti baja, racun dan logistik.

“Setakat ini bekalan hasil padi kita masih terkawal dan kerajaan negeri juga menggalakkan masyarakat terus melakukan solat sunat istisqa’ serta berdoa mohon turun hujan. Ia sebahagian ikhtiar tambahan kita dalam menghadapi kemarau,” katanya.

Tuan Mohd. Saripudin berkata, hasil pertanian padi di Kelantan berada pada tahap terbaik pada musim pertama tahun ini, dengan lebih 90 peratus kawasan padi berjaya dituai sehingga kini. 

“Selain itu, kerajaan negeri melalui Pusat Khidmat DUN membuka peluang kepada golongan petani untuk menubuhkan koperasi berasaskan pertanian dengan sokongan bajet dan kepakaran teknikal. 

“Koperasi akan membolehkan petani mengembangkan projek pertanian, penternakan, perikanan serta produk hiliran, termasuk potensi untuk menceburi bidang agropelancongan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN