BALING: Proses pembersihan rumah-rumah penduduk yang terjejas akibat tragedi kepala air dan banjir kini baru sekitar 60 peratus di 38 kampung dan taman perumahan di Kupang.
Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, kerja-kerja itu pula hanya membabitkan bahagian dalam rumah yang dimasuki air beserta lumpur.
“Saya rasa untuk membersihkan seluruh kawasan yang dilanda banjir dan kepala air ini memerlukan masa paling cepat tiga bulan, tidak termasuk kerja membaiki kemudahan lain yang rosak.
“Kita akan cuba bantu semua mangsa dan lihat apa keperluan mereka, cuma, saya harap penduduk sabar sementara bantuan sampai,” katanya ketika ditemui.
Abdul Azeez turut menganggarkan kerugian keseluruhan yang dialami akibat tragedi itu adalah lebih RM100 juta termasuk kerosakan infrastruktur seperti jambatan.
“Di Sungai Kupang berhampiran Kampung Iboi sahaja terdapat banyak jambatan kecil terutama di kawasan rekreasi Lata Celak, banyak juga fasiliti lain yang musnah.
“Malah, untuk mangsa pun kerugian mereka sekitar RM30 juta melibatkan barangan elektrik, perabot dan sebagainya. Maka, sebab itu kami kini sudah mula mengedarkan peralatan yang asas kepada mangsa,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menafikan tumpuan hanya diberikan kepada Kampung Iboi termasuk dalam aspek pembersihan dan bantuan pelbagai pihak.
“Pada awalnya memang betul kita perlu memberi tumpuan di Kampung Iboi kerana kawasan itu adalah ‘Ground Zero’ dan berlaku kematian tiga nyawa penduduk.
“Tetapi, ketika ini, penyelerasan yang lancar dilakukan di semua kawasan yang terjejas di Kupang dengan bantuan segala agensi kerajaan, pihak swasta dan badan bukan kerajaan (NGO),” katanya. –UTUSAN ONLINE