BALING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Baling menubuhkan satu pasukan petugas khas untuk membuat bancian bagi mendapatkan jumlah sebenar rumah terjejas akibat kepala air dan banjir di Kupang, di sini minggu lalu.
Pegawai Daerah Baling, Mohd. Shahadan Abdullah berkata, pasukan itu ditubuhkan berikutan kemungkinan berlakunya penambahan laporan premis terjejas daripada 802 kepada 1,228 laporan.
Katanya, terdapat kemungkinan satu isi rumah membuat lebih daripada satu laporan polis hingga menunjukkan peningkatan ketara.
“Pasukan ini terdiri daripada 80 kakitangan daripada pejabat daerah, Majlis Daerah Baling (MDB), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Mereka dibahagikan kepada enam kumpulan yang diketuai oleh penghulu dan akan membuat bancian di rumah penduduk di 41 kawasan terlibat.
“Kita akan rekodkan dalam borang bancian, kemudian, kita akan analisa dan sahkan dalam JPBD sebelum diangkat kepada Jawatankuasa Bencana Negeri dan diserahkan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma),” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Tambah Mohd. Shahadan, proses bancian secara terperinci itu akan bermula esok dan dijangka selesai dalam tempoh dua hari yang dikategorikan mengikut tahap kerosakan sesebuah rumah.
“Sekiranya keanggotaan pasukan ini tidak mencukupi, kita akan minta bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).
“Selain itu, jika terdapat penambahan baharu laporan polis selepas tempoh dua hari bancian selesai, kita akan sambung proses bancian ini untuk mendapatkan angka yang tepat,” katanya. –UTUSAN ONLINE