KUALA LUMPUR : Kerajaan tidak bercadang untuk memansuhkan Sistem Pembantu Rumah dalam Talian (MOS) bagi kemasukan pekerja asing Indonesia ke Malaysia.
Menjelaskan perkara itu, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri S. M.Saravanan berkata, apa yang akan dilakukan adalah kerajaan akan membuat integrasi dengan Indonesia serta beberapa pihak lain bagi menambah baik sistem sedia ada.
“Tiada sebarang syarat untuk memansuhkan sistem sedia ada, apa yang dinyatakan dalam MoU adalah menggunakan sistem sedia ada untuk pengambilan pekerja asing. Tetapi, ia tidak mensyaratkan untuk kita memansuhkan sistem yang kita ada.
“Semalam, kita adakan perbincangan dengan pihak Indonesia dan bersetuju untuk mengintegerasikan sistem sedia ada dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan sistem yang dicadangkan oleh Indonesia,” katanya ketika menjawab soalan tambahan yang dikemukakan Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu, Anthony meminta kerajaan menjelaskan adakah pemansuhan MOS menjadi syarat MoU yang dipersetujui bersama antara Malaysia dan Indonesia bagi kemasukan pekerja asing ke negara ini.
Tambah Saravanan, isu ini dibincang kelmarin dalam satu Mesyuarat Jawatankuasa bersama kementerian Sumber Manusia, KDN, Jabatan Imigresen Malaysia serta Duta Besar Republik Indonesia ke Malaysia.
Dalam mesyuarat berkenaan, pihak terbabit bersetuju supaya perbincangan segera diadakan bagi menyelesaikan permasalahan ini.
Untuk rekod, memorandum persefahaman (MoU) antara Malaysia dan Indonesia mengenai Pengambilan dan Penempatan Pekhidmat Domestik Indonesia ditandatangani pada 1 April 2022.
MoU ini membuka laluan kepada kemasukan pekerja warga Indonesia untuk sektor- sektor lain yang dibenarkan bagi penggajian pekerja asing termasuk Pekhidmat Domestik Indonesia.
Namun begitu, pada 12 Julai 2022, Kerajaan Indonesia telah mengumumkan penangguhan sementara kemasukan pekerja warga Indonesia ke Malaysia.
Penangguhan ini adalah ekoran daripada kekeliruan yang timbul dalam mekanisme pengambilan Pekhidmat Domestik Indonesia ke negara ini. –UTUSAN ONLINE










