KUALA SELANGOR: Kerajaan negeri tidak menafikan bangunan keramat Red Giants, Stadium Shah Alam akan dirobohkan, sebaliknya ia antara cadangan yang sedang diteliti sebelum diputus dan diumumkan pada 16 Julai nanti.
Pemilihan tarikh 16 Julai itu adalah sempena perasmian stadium berkenaan pada 1994 oleh Sultan Selangor ketika itu, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sebelum memutuskan tindakan yang akan diambil terhadap stadium tersebut, beberapa pertemuan dan perbincangan diadakan dengan pihak berkepentingan termasuk pengendali sukan serta Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).
Menurutnya, isu baik pulih stadium timbul sejak 2013 apabila kerajaan negeri mengenal pasti kos sebenar untuk selenggara dan mengganti peralatan dalam stadium bernilai RM350 juta.
“Apabila refurbish yang menunjukkan kita tak pernah lupa untuk menyelenggara seperti sebelum Sukan SEA 2017 kita belanja hampir RM700,000 untuk mengganti bumbung yang bocor dengan setiap satu kosnya hampir RM1,000 dan kita belanja hampir berjuta untuk ganti.
“Bagaimanapun, selepas beberapa tahun, bumbung polikarbonat itu akhirnya rapuh dan mengancam keselamatan. Sebenarnya, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memberikan status kurang selamat di situ kerana bumbung rosak yang terbang, dalam masa sama mengalami masalah lain. Untuk keselamatan, kita akan lihat keseluruhan.
“(Meroboh) Itu salah satu daripada pilihan, sebab dari awal yang saya sebutkan bahawa ia bermula dari 2013 kita kaji perkara ini. Tetapi sampai ke tahap sekarang, apabila tidak selamat, jadi kita bincang dengan FAS bagaimana, adakah hendak buat?,” katanya ketika ditemui semalam.
Beliau menambah, setiap tahun kos penyelenggaraan stadium berkenaan mencecah sehingga RM5 juta, justeru jika terus dibaiki, masalah sama dikhuatiri berulang.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan stadium dengan kemampuan sehingga 80,300 penonton berkenaan didakwa akan diroboh dan digantikan bangunan baharu berkapasiti 30,000 hingga 40,000 orang.
Dalam laporan tersebut, turut dinyatakan adalah pendapatan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) meliputi sewa stadium, taman sukan lasak, Stadium Mini dan Stadium Malawati serta tempat letak kereta yang menjana sekitar RM5 juta pada 2015 hingga 2017.
Dalam pada itu, Amirudin sekali lagi menegaskan kerajaan negeri tidak sekadar membaiki stadium tersebut yang disifatkannya sebagai langkah populis semata-mata.
“Akhirnya kita buat penilaian kalau hendak buat, laksanakan dengan sempurna, nanti bumbung elok, tandas pula banjir. Jadi, tak bolehlah, kita tak mahu jadi sedemikian. Pembangkang mungkin ambil short-term, tetapi kerajaan melihat dari konteks menyeluruh.
“Memang tak populis, tetapi kita buat keputusan betul berbanding popular. Kalau setakat hendak popular, saya boleh luluskan, kita ada peruntukan pun untuk tukar bumbung, tetapi adakah itu jawapan menyeluruh? Tidak. Jawapan menyeluruh adalah condition stadium secara keseluruhan. Sustainability dan condition,” tegasnya. –UTUSAN ONLINE










