Malaysia terpaksa tanggung akibat

Malaysia terpaksa tanggung akibat

POKOK ganja yang mudah didapati sekitar Bazar Hatyai, Thailand. – UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Masalah penyalahgunaan dadah di negara ini dan aktiviti penyeludupan di sempadan dijangka meningkat berikutan langkah Thailand membenarkan penggunaan ganja termasuk rak­yatnya dibolehkan menanam pokok itu di rumah.

Di pasar pagi dan kedai serbaneka, pokok serta air minuman berasaskan ganja dijual secara terbuka dan berleluasa sekali gus menjadi tarikan kepada pengunjung menggunakan barangan terlarang itu apabila ke negara jiran.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pakar Kajian Strategik dan Keselamatan Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Prof. Madya Dr. Mohd. Mizan Aslam berkata, kemungkinan rakyat negara ini mengambil ganja di negara jiran itu tidak boleh di­nafikan.

Malah, Thailand juga sedang bergerak menjadikan tanaman tersebut sebagai salah satu industri pelancongan.

AIR berasaskan ganja yang dijual kedai-kedai di Wang Prachan, Thailand.

Katanya, hal tersebut secara tidak langsung menjadikan ganja sebagai tarikan kepada pe­ngunjung ke negara jiran untuk berseronok.

“Perkara sama juga mesti berlaku kepada masyarakat Malaysia, yang mana segelintir mereka mungkin menjadikan perjalananan ke Thailand sebagai satu peluang menikmati ganja,” katanya.

Baru-baru ini, media negara itu melaporkan, hampir sejuta orang di seluruh Thailand sudah diberikan kelulusan untuk menanam pokok ganja di rumah mereka.

Menurut Pentadbiran Makanan dan Ubatan Thailand (FDA), menerusi program aplikasi telefon pintar, seramai 980,000 orang sudah mendaftar untuk mendapatkan kebenaran menanam pokok ganja di rumah masing-masing.

Jelas FDA, ketika jumlah pendaftaran semakin ba­nyak, pihak berkuasa negara ini berdepan dengan kesukaran untuk meluluskan perkara tersebut kerana dibimbangi mencetuskan situasi yang tidak sepatutnya

Sebelum ini, Thailand telah membenarkan penduduknya menanam ganja di rumah untuk kegunaan sendiri.

Difahamkan, pokok ganja mempunyai tempoh matang antara empat hingga sembilan bulan sebelum ia dituai untuk digunakan.

Tambah Mohd. Mizan, kesan penjualan pokok ganja secara berleluasa itu bakal mendorong aktiviti penyeludupan yang semakin tidak terkawal ke negara ini.

Katanya, situasi tersebut agak sukar dikawal memandang­kan Thailand memberi kebebasan terhadap ganja manakala kawalan penguatkuasaan atau undang-undang tumbuhan itu hanya berlaku di Malaysia sahaja.

“Secara tidak langsung juga bakal mewujudkan lebih ba­nyak penyeludup-penyeludup baharu yang sebelum ini ha­nya fokus terhadap makanan dan ketum sahaja. Selepas ini, berkemungkinan lebih tertumpu kepada ganja yang lebih membawa pulangan lumayan,” katanya.

Kata Mohd. Mizan, antara kesan lain adalah peningkatan jumlah penagih di negara ini yang mendapat lebih peluang ekoran polisi baharu Thailand membenarkan tanaman ganja itu.

“Selain itu, jenayah lain juga dijangka meningkat ekoran pe­ningkatan penagihan itu. Jenayah dalam negara mungkin meningkat apabila peratusan penagihan dadah tinggi.

“Justeru, langkah penguatkuasaan di pintu sempadan negara perlu dipertingkat bagi mengekang penyeludupan ganja ini selain kita mengambil tindakan drastik mengkaji membenarkan penggunaan ganja ini sama dengan perubahan di Thailand ketika ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN