Lebih ramai alami masalah mental jika OPR naik lagi

Lebih ramai alami masalah mental jika OPR naik lagi

SEBARANG cadangan untuk menaikkan lagi OPR perlu diteliti kesannya terhadap kos perbelanjaan rakyat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Masalah kesihatan mental rakyat dikhuatiri lebih parah jika kerajaan mengambil keputusan menaikkan lagi kadar dasar semalaman (OPR) ketika mereka sedang bergelut dengan harga barang mahal.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Program Kaunseling, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Rezki Perdani Sawai berkata, semua pihak berisiko mendapat gejala masalah mental jika mereka gagal menguruskan kewangan dan emosi sebaik mungkin ketika ini.

Beliau berkata, keadaan bertambah buruk jika individu terbabit diisytihar muflis dan hilang kerja yang tentunya mengundang kepada kemurungan.

“Tahap kemurungan bergantung kepada seseorang dengan paling singkat boleh dikesan dalam tempoh dua minggu manakala paling lama pula mungkin mengambil masa hingga berbulan-bulan,” kata beliau.

Selain itu, kata Rezki, impak kemerosotan ekonomi keluarga itu juga dibimbangi menjadi faktor seseorang itu mencuba mengambil barang terlarang.

“Individu yang terkesan dengan keadaan semasa boleh menjerumuskan mereka mengambil dadah kononnya untuk melupakan tekanan,” katanya di sini semalam.

Justeru, beliau berkata, keputusan meningkatkan OPR ketika ini dengan alasan membendung inflasi dibimbangi mencetuskan masalah kesihatan mental rakyat.

“Kerajaan baru menaikkan kadar OPR dan dalam situasi semasa pada masa ini yang memerlukan wang termasuk untuk makan mahu pun pergi ke tandas awam, menambahkan lagi kekusutan rakyat,” katanya.

Semalam, akhbar ini melaporkan, bilangan rakyat Malaysia yang muflis mungkin bertambah dua kali ganda sekiranya OPR dinaikkan sekali lagi iaitu sekurang-kurangnya 25 mata asas (bps) menjelang akhir tahun ini.

Sebelum ini, sebanyak 46,132 individu diisytiharkan muflis sejak 2018 sehingga Mei lalu termasuk 10,317 orang yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana pandemik Covid-19.

Presiden Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia (4PM), Rosland Mohd. Ari berkata, situasi berantai dialami rakyat iaitu bermula dengan penarikan subsidi minyak masak botol dan kenaikan inflasi telah menjejaskan poket apabila kehidupan mereka diibarat ‘kais pagi, makan pagi, kais petang makan petang’.

Semenatar itu, Rezki Perdani berkata, sebarang langkah yang menekan rakyat bukan sahaja menyebabkan jumlah muflis meningkat, malah meninggalkan kesan emosi apabila setiap hari rakyat sentiasa memikirkan kos sara hidup semakin bertambah sedangkan pendapatan bulanan tidak bertambah.

Kata beliau, kegagalan menguruskan kewangan dengan baik menyebabkan emosi seseorang bertukar pemarah dengan melampiaskan kemarahan itu kepada isteri atau anak-anak.

Dalam perkembangan sama, Setiausaha Kehormat Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA), Dr. Ahmad Rostam Md. Zin berkata, peningkatan OPR boleh menjejaskan kesihatan mental rakyat terutama golongan rentan dari sudut kewangan.

“Sebarang situasi yang mengancam tahap sosioekonomi pasti akan memberi impak kepada kesihatan mental individu terutama jika tiada sistem sokongan yang baik di sekelilingnya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN