Kuarters guru menyedihkan

Kuarters guru menyedihkan

BAHAGIAN dalam Kuarters Pendidikan Tajar di Alor Setar yang terbiar hampir 10 tahun dipenuhi sisa kaca dan pintu yang rosak. – MINGGUAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keadaan kuarters yang tidak terurus, kemudahan sering rosak serta tidak diselenggarakan dengan baik menjadi punca warga pendidik memilih untuk menyewa rumah lain berbanding mendiami kuarters guru.

Masalah ketara yang dihadapi antaranya keretakan dinding rumah, bumbung bocor, jubin lantai pecah, tandas tersumbat serta kebocoran saluran paip.

Lebih memeritkan, penghuni kuarters terpaksa mengeluarkan wang saku sendiri untuk membaiki kerosakan tersebut apabila permohonan untuk baik pulih tidak mendapat perhatian pihak bertanggungjawab selain masalah birokrasi.

Bosan terlalu kerap berdepan situasi yang sama menyebabkan ramai warga pendidik memilih mengambil elaun perumahan bulanan guru sebanyak RM300 bagi memudahkan mereka membeli rumah sendiri atau menyewa di kawasan berdekatan.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, seorang guru yang hanya mahu dikenali sebagai Aziah berkata, dia berdepan masalah kerosakan rumah hampir lima tahun sebelum membuat keputusan keluar dari kuarters dan tinggal di rumah sewa bersama suami dan anak-anaknya.

“Siapa yang mahu duduk di rumah yang alami pelbagai kerosakan? Apabila kita buat aduan, macam-macam hal pula yang terjadi. Kita disuruh buat aduan ke pelbagai jabatan dan terpaksa menunggu lama. Atas faktor keselamatan, akhirnya kita sendiri yang terpaksa baiki.

“Selepas sering berdepan masalah sama, saya memilih untuk keluar dan mencari rumah sewa. Saya memang ada rumah, tetapi agak jauh dari sekolah, jadi saya menyewa di kawasan berdekatan kerana suami juga seorang guru,” katanya yang mengajar di Kedah.

Seorang guru Matematik yang ingin dikenali sebagai Zul berkata, dia terpaksa mengeluarkan duit sendiri hampir RM5,000 untuk membaiki kerosakan paip bocor sebelum mengambil keputusan berpindah.

“Kalau kerosakan kecil lebih baik baiki sendiri. Kalau buat aduan rasanya kerosakan yang ada itu akan makin teruk selepas kita ditolak ke sana dan ke sini. Memang rugi sebab ini rumah kerajaan dan elaun kita dipotong, namun tiada pilihan.

“Kuarters guru ibarat segala-galanya atas kepada penghuni. Misalnya untuk pastikan kawasan rumah sentiasa bersih dan tidak dipenuhi lalang dan semak samun. Kami penghuni terpaksa berkongsi duit untuk bayar upah pekerja,” katanya.

Seorang lagi warga pendidik yang dikenali sebagai Hilmi, 35, berkata, dia memilih untuk mengambil semula elaun perumahan kerana tidak tahan dengan masalah kuarters guru yang didudukinya di Pahang.

“Saya pilih untuk terima semula elaun perumahan kira-kira RM400 dan saya tambah sedikit untuk cari rumah sewa yang lebih selesa untuk saya diami bersama keluarga. Bagi saya, itu adalah jalan terbaik.

“Dahulu, kuarters yang saya tinggal rosak dan saya buat aduan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) selepas itu rujuk ke Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan akhirnya
ke kementerian namun, tiada kesudahan.

“Lantai rumah yang rosak pada mulanya di bahagian dapur merebak hingga ke ruang tamu. Selain itu berdepan masalah tandas tersumbat berulang kali. Macam-macam
kerosakan, itu yang buat saya tidak tahan,” katanya.

Di Maran, Pahang, seorang guru yang mahu dikenali sebagai Rafie, 43, berkata, banyak aduan dibuat kepada PPD berhubung masalah kuarters guru yang didiaminya, namun masih belum ada tindakan.

“Saya terpaksa juga duduk di sini sebab lebih dekat dengan rumah ibu tapi perlu berhadapan dengan macam-acam masalah penyelenggaraan yang sekian lama tidak
selesai,” katanya.

Menurutnya, antara kerosakan yang dialami ialah masalah pembentungan.

Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan 16,364 unit kuarters guru bernilai hampir RM1 bilion di seluruh negara terus terbiar sehingga menjadi sarang gejala sosial dan jenayah.

Nilai projek terbiar tersebut berdasarkan harga binaan bagi setiap unit kuarters itu sekitar RM50,000 sebuah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×