PUTRAJAYA: Kos pengambilan sebanyak RM15,000 bagi seorang Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI) dikatakan tidak setimpal dan ia dipercayai antara punca pembekuan penghantaran pekerja warganegara itu ke Malaysia.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (PAPSMA), Dr. N. Sukumaran berkata, walaupun kos itu dipersetujui menerusi memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua negara, namun jumlah itu sukar dipenuhi.
Katanya, kos ejen di Indonesia sahaja sudah mencapai RM12,000 hingga RM14,000, jadi mustahil ejen kedua-dua negara untuk melaksanakan perkhidmatan berkenaan jika harga siling ditetapkan sebanyak itu.
Beliau menggesa kerajaan membenarkan persatuan pengambilan pekerjaan asing antara Malaysia dan Indonesia bertindak menguruskan kemasukan PDI secara rundingan terus sebagai satu jalan penyelesaian masalah ini dengan pemantauan pihak kerajaan kedua-dua negara.
Jelasnya, masing-masing dua dan empat persatuan di Indonesia dan Malaysia sudah memeterai MoU untuk menjalankan urusan ini berdasarkan konsep perniagaan dengan perniagaan sekali gus boleh menyelesaikan masalah ketidak selarasan proses dan protokol kemasukan pekerja asing Indonesia.
EJEN
“PAPSMA mohon kerajaan beri peluang semua agensi pekerjaan di Malaysia kira-kira 770 ejen yang terlibat untuk berunding terus dengan agensi perekrutan Indonesia melalui persatuan kami sekali gus mampu menyelesaikan masalah antara dua negara,” katanya di sini semalam.
Terdahulu, Indonesia dilapor mengenakan pembekuan sementara ke atas semua pekerja warganya memasuki Malaysia sejak semalam berikutan Jabatan Imigresen terus menggunakan Sistem Dalam Talian Pembantu Rumah (SMO) untuk memudahkan pengambilan pembantu rumah Indonesia.
Perkara itu disahkan Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono bahawa keputusan itu dibuat selepas sesi perundingan maya yang dihadirinya bersama pegawai Kementerian Luar dan Kementerian Tenaga Kerja negara itu semalam.
Susulan itu, Kementerian Sumber Manusia akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam masa terdekat bertujuan menangani isu-isu yang berkaitan dengan kemasukan pekerja warga Indonesia ke dalam negara dengan kadar segera.
Sukumaran berkata, selain punca kos tersebut, kerajaan Indonesia juga tidak bersetuju dengan pemilihan pusat-pusat perubatan yang ditetapkan kerajaan Malaysia tanpa memberi kelonggaran kepada pihak mereka membuat pemeriksaan kesihatan amah.
PERUBATAN
Katanya, kebanyakan ejen Indonesia tidak dapat menerima senarai pusat perubatan yang diselaraskan kerana tidak merangkumi keseluruhan negara tersebut selain terpaksa membayar kos lebih untuk membawa amah membuat pemeriksaan di situ.
Dalam masa sama, beliau memberitahu, kerajaan Indonesia tidak bersetuju dengan sistem SMO yang mahu diguna pakai Malaysia yang mana pembantu rumah boleh memasuki Malaysia mengguna pakai visa pelawat yang kemudiannya ditukar kepada permit amah.
“Indonesia tak benarkan, mereka cuma mahu amah yang masuk ke Malaysia daripada institusi latihan yang diiktiraf di Indonesia dengan menjalani tiga bulan latihan di situ.
“Indonesia sudah ada sistem sendiri iaitu One Channel System. Mereka sanggup integrasi dengan mana-mana sistem di Malaysia tetapi kita tak laksanakan apa yang mereka mahukan,” katanya. – UTUSAN










