PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan keputusan penempatan bagi 2,611 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) DG41 lantikan secara kontrak perkhidmatan (CoS) boleh disemak mulai pukul 3 petang ini.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, calon boleh membuat semakan penempatan melalui https://egraduan.moe.gov.my.
Beliau berkata, penempatan baharu ini menjadikan jumlah keseluruhan pengambilan khas guru secara one-off yang telah dilantik dan ditempatkan di sekolah adalah seramai 16,381 orang.
“Selamat memulakan tugasan buat guru-guru baharu ini yang akan melapor diri di sekolah masing-masing pada 25 Julai ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Katanya, penempatan guru baharu ini telah mengambil kira permohonan pertukaran guru-guru yang memenuhi syarat pertukaran, khususnya kekosongan jawatan dan opsyen mata pelajaran.
Radzi berkata, KPM sentiasa berikhtiar sehabis baik bagi memastikan perkara berkaitan pertukaran dan penempatan guru dapat dilaksanakan sebaiknya.
“Kepada guru-guru baharu, tahniah saya ucapkan. Laksanakan amanah dan berikan khidmat yang terbaik demi pendidikan anak-anak generasi pewaris negara,” katanya. – UTUSAN










