PETALING JAYA: Polis mengambil keterangan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohammad Hassan berhubung kenyataannya didakwa tidak sensitif kepada masyarakat Hindu.
Mengesahkan perkara itu kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya merakam percakapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau itu semalam bagi membantu siasatan.
“Kita telah ambil keterangan beliau dan kertas siasatan akan dilengkapkan sebelum dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya bagi tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Minggu lalu, polis mengesan pemberita didakwa memuat naik temu bual bagi membantu siasatan berhubung kenyataan Mohamad atau lebih dikenali Tok Mat dikatakan tidak sensitif kepada masyarakat Hindu.
Eng Lai dilaporkan berkata, sesiapa mempunyai maklumat mengenai pengendali Twitter @NicholasKochan itu diminta tampil menyalurkan kepada pihak polis.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 505(C) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
Terdahulu, polis menerima laporan oleh Sayap Bersekutu Bersatu terhadap Tok Mat kerana gagal memohon maaf kepada penganut Hindu dalam tempoh 24 jam.
Ketua Penerangannya, S. Gobi Krishnan juga dilaporkan turut mengugut akan berarak ke pejabat Mohamad.
Dalam wawancara bersama Asia Times, baru-baru ini, Mat didakwa merujuk kavadi sebagai ‘beban’ dalam menggambarkan kekalahan Umno pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).- UTUSAN










