Iktiraf kelapa sebagai 'raja buah' selepas durian - Utusan Malaysia

Iktiraf kelapa sebagai ‘raja buah’ selepas durian

WAN Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal (dua dari kiri) melihat kaedah memproses sabut kelapa untuk bahan gentian di Kilang Projek Diraja (PDK) Telong, Bachok, Kelantan hari ini.-UTUSAN/ TOREK SULONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BACHOK: Kelapa perlu diiktiraf sebagai raja buah kedua selepas durian kerana kepelbagaian fungsinya yang bermanfaat kepada komuniti dan bernilai dari sudut komersial.

Inovasi terkini membuktikan sebiji kelapa dari sabut hingga isi berguna untuk penghasilan cocopeat, serat, kerisik, santan, minyak masak dan arang karbon mempunyai nilai pasaran yang tinggi.

Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal berkata, industri hiliran yang dibangunkan oleh komuniti Projek Diraja Kelantan (PDK) di Telong di sini, membuktikan nilai ekonomi yang mampu membantu penduduk setempat.

Menurutnya, walaupun ia tidak seenak durian, namun, kegunaannya lebih berfungsi tanpa sedikit pun menjadi sisa buangan.

“Penyertaan 150 belia, ibu tunggal, Orang Kurang Upaya (OKU) dan komuniti setempat bekerja di kilang memproses buah kelapa secara komersial itu perlu mendapat sokongan kerajaan.

“Kilang ini memproses lebih 24,000 biji kelapa sehari untuk penghasilan cocopeat dari fiber sabutnya untuk kegunaan agro-pertanian, kerisik, santan dan arang tempurung adalah satu kejayaan yang perlu disusuli dengan pembangunan teknologi yang diperlukan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat Perusahaan Inisiatif Belia Bekerja (IBB) Kelantan di sini hari ini.

Wan Ahmad Fayshal memberitahu, kerajaan Negeri dan Persekutuan boleh menyalurkan bantuan kerana kelompok komuniti ini telah membuktikan kejayaan dan memerlukan sedikit dana untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran.

Katanya, industri ini bukan hanya mampu menampung keperluan domestik tetapi berpotensi mengeksport ke negara luar yang memerlukan.

“Kelapa sinonim dengan pertanian Orang Melayu terutama di kawasan pesisir pantai yang perlu ada usaha mengangkat Industri kelapa ke tahap yang lebih tinggi dan tidak bergantung kepada import dari negara jiran.

“Raja buah kini dipegang oleh durian, namun, boleh usulkan untuk menaik tarafkan kelapa termasuk mempromosikannya pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA)  2022. Ia satu cadangan yang baik dan saya bersetuju untuk Raja Buah kedua,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya