BUTTERWORTH: “Selalunya dia habaq (beritahu) kalau nak pi (pergi) mana-mana, tapi kali ni tak.”
Demikian luah Mariam Mat, 82, ibu kepada Mohd. Rodhi Othman, 64, yang maut dalam nahas berhampiran Hentian Titiwangsa di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli petang kelmarin.
Kata Mariam, pemergian anak sulung daripada lapan beradik itu amat mengejutkan kerana sudah menjadi kebiasaan arwah pasti memberitahunya sekiranya mahu ke mana-mana.
“Kali terakhir saya bertemu arwah beberapa hari lepas ketika dia menghantar ubat darah tinggi ke rumah saya di Bagan Jermal.
“Saya katakan padanya yang dia boleh saja hantar hari Ahad (hari ini) kerana masa itu arwah sedang selesema tetapi dia kata dia risau, takut ubat saya habis.
“Bila cucu (anak mangsa) maklumkan yang arwah sekeluarga ditimpa kemalangan, saya memang terkejut kerana arwah sepatah pun tak beritahu yang dia ke Kelantan bersama keluarganya,” katanya ketika ditemui di pekarangan Masjid Jamek Haji Abdul Rashid, di sini hari ini.
Mariam bagaimanapun berkata, dia reda dengan ketentuan Allah SWT.
Terdahulu, jenazah lima sekeluarga yang maut dalam nahas berhampiran Hentian Titiwangsa di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli petang semalam selamat dikebumikan di Masjid Jamek Haji Abdul Rashid selepas solat zuhur.
Turut maut dalam nahas isteri Mohd. Rodhi, Sharifah Rohana Syed Sagaf, 59, anak mereka, Siti Aishah, 32, menantu, Ahmad Khomaini Abu, 32, dan cucu mereka, Zara Hana Ahmad Khomaini, 6,.
Nahas itu berlaku selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza yang dinaiki keluarga berkenaan bertembung dengan pacuan empat roda (4WD) Toyota Hilux.
Kemalangan itu dipercayai berpunca daripada pemandu 4WD yang memandu dari arah Gerik ke Jeli, Kelantan yang hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan kenderaan terbabit. – UTUSAN









