Derma khairat di Wilayah Persekutuan tiada kebenaran? - Utusan Malaysia

Derma khairat di Wilayah Persekutuan tiada kebenaran?

TANGKAP layar Portal Semakan Wang Khairat (Derma / Sedekah) yang diuruskan oleh pihak Jawhar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tiada organisasi diberikan kebenaran oleh pihak berwajib bagi kutipan derma khairat di seluruh Kuala Lumpur.

Bukan itu sahaja, Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar) menerusi laman sesawangnya mendedahkan tiada badan tertentu boleh berbuat demikian di Putrajaya dan Labuan.

Berdasarkan semakan Utusan Malaysia, hanya ada sebuah pertubuhan amal yang berkaitan aktiviti pendidikan Islam pernah diberikan kebenaran bagi tujuan tersebut di Putrajaya namun organisasi yang beralamat di Presint 11 itu sudah tamat tempoh keizinan untuk melakukan kutipan derma.

Menurut agensi tersebut, pertubuhan itu cuma diberikan permit berkenaan dari 30 April 2018 sehingga 30 April 2019 bagi sumbangan pembinaan sebuah bangunan pendidikan.

Menerusi Portal Semakan Wang Khairat (Derma / Sedekah) yang dikelolakan oleh Jawhar, terdapat cuma sejumlah 993 organisasi menerima kebenaran di seluruh negara untuk tujuan itu.

“Ia sebagai kemudahan manfaat masyarakat supaya tidak lagi tertipu atau sia-sia sumbangan disedekahkan demi kepentingan agama namun disalahgunakan pihak tertentu,” jelasnya lagi.

Aktiviti kutipan sedekah oleh institusi berkaitan Islam perlu mendapat surat kebenaran atau sokongan daripada pihak berautoriti iaitu Majlis Agama Islam di setiap negeri masing-masing.

Untuk sumbangan khairat di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, perkara tersebut di bawah Seksyen 84 (1) Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1993.

Setiap derma perlu ada resit mengikut nombor siri dalam borang ditetapkan yang perlu diserah kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan bagi tujuan pemeriksaan dan pengauditan.

Pihak yang ingkar atau gagal berbuat demikian jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum penjara selama tempoh tidak lebih enam bulan atau didenda hingga RM1,000 atau kedua-duanya.

Malangnya ujar Jawhar, ada pihak tidak bertanggungjawab dikesan masih menjalankan aktiviti itu tanpa mengikut perundangan, bahkan mengeksploitasi kanak-kanak bagi mengutip derma.

Justeru, agensi itu turut menyediakan borang maklum balas atau aduan secara atas talian bagi orang awam menyalurkan maklumat berhubung kegiatan tersebut untuk penyiasatan lanjut.

Setakat ini, negeri yang paling banyak memberi kebenaran kutipan derma untuk tujuan hal ehwal Islam ialah Perak iaitu 182, diikuti Kelantan (150), Melaka (143) dan Pulau Pinang (101).

Negeri-negeri lain pula agak kurang daripada 100 iaitu Pahang sebanyak 97, Negeri Sembilan (84), Johor (67), Selangor (55), Sabah (54), Kedah (41), Terengganu (13) dan Perlis (lapan).

Uniknya, Jawhar juga merekodkan langsung tiada pihak diberikan kebenaran untuk perkara itu di Sarawak kerana peruntukan enakmen undang-undang di negeri itu adalah lebih ketat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.