Bina litar lumba kos rendah

Bina litar lumba kos rendah

AKTIVITI lumba haram yang semakin sukar dibendung dalam kalangan anak-anak muda. -GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan disarankan membina litar lumba motosikal yang lebih murah kadar sewaannya bagi membolehkan golongan mat rempit beraksi ‘secara selamat’.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, pelumba kereta rali negara, Karamjit Singh berkata, ia antara langkah yang boleh membantu mengatasi masalah lumba haram dalam kalangan anak-anak muda yang semakin sukar dibendung.

Selain itu katanya, pada masa yang sama, golongan mat rempit perlu dilibatkan dengan pengurusan sesebuah perlumbaan di litar baharu itu nanti bagi memastikan segala aspek teknikal litar memenuhi tuntutan golongan berkenaan.

“Sepatutnya litar Batu Tiga, Shah Alam dikekalkan untuk lahirkan bakat baharu dalam sukan permotoran. Lagipun harga murah berbanding di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Anak muda daripada golongan berpendapatan rendah (B40) kurang berkemampuan. Kos di SIC tinggi.

“Kita faham sebab penyelenggaraan. Tapi kalau ada litar seperti Batu Tiga, dapatlah buka ruang kepada anak muda,” katanya.

Perlumbaan haram melibatkan anak muda didapati semakin sukar dikawal terutamanya pada malam minggu sehingga menimbulkan rasa tidak senang hati dalam kalangan pengguna jalan raya lain, malah aksi mereka turut mengundang bahaya.

Dalam kejadian Ahad lalu, lima penunggang motosikal maut dalam kemalangan, disyaki terlibat dalam lumba haram di Pulau Pinang.

Malah, statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan sebanyak 390 operasi dan 602 tangkapan membabitkan mat rempit dibuat sepanjang Operasi Samseng Jalanan sejak April hingga 31 Mei lalu.

Jelas Karamjit, selain pembinaan litar kadar sewa murah, kemunculan mat rempit juga perlu ditangani dengan lebih tegas bermula dari peringkat awal.

“Kita perlu lihat juga dari semua sudut mengapa ia berlaku. Adakah melibatkan psikologi, ganjaran lumayan, kemudahan, minat atau terpengaruh dengan rakan,”
soalnya.

Karamjit juga berkata, kerajaan perlu mempertimbangkan agar perlumbaan Formula Satu (F1) dianjurkan semula pada masa depan untuk merancakkan industri sukan permotoran.

“Ia sebenarnya ada banyak manfaat yang bukan hanya pada satu sektor. Sebagai contoh semasa saya mewakili pasukan Proton, saya bawa nama negara. Begitu juga dengan F1.

“Walaupun menelan kos tinggi, ia memberi impak kepada sektor pelancongan negara.

“Tapi paling penting ia perlu bergerak seiring. Sebelum ini perlumbaan kereta rali kurang menonjol selepas adanya F1. Kita tidak mahu bakat baharu yang menonjol tersekat disebabkan tumpuan lebih kepada F1. Selepas mulanya F1 habis pelumba kereta rali terperap di rumah,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×