Bekas pesawat jumbo Malaysia Airlines kembali tapi kini milik Kenya - Utusan Malaysia

Bekas pesawat jumbo Malaysia Airlines kembali tapi kini milik Kenya

PESAWAT Astral Aviation yang pernah dimiliki Malaysia Airlines di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang, Selangor baru-baru ini. - Foto ihsan MAHB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Ibarat sirih pulang ke gagang, namun, kali ini pesawat ‘jumbo’ yang pernah suatu ketika dahulu menjadi kebanggaan Malaysia Airlines, sudah bertukar kepada pemilik lain pula.

Begitulah yang ingin digambarkan menerusi hantaran terbaharu laman sosial rasmi Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) terhadap ketibaan sebuah pesawat kargo Astral Aviation.

“Suasana cukup mengharukan, pesawat B747-400F ini pernah diuruskan Malaysia Airlines dan seperti ‘balik kampung’ ke Kuala Lumpur. Kami merindui anda!” luah pentadbir akaun itu.

Laman tersebut turut memuat naik foto yang dirakamkan oleh John Kkho tetapi tidak pula menyatakan secara lebih terperinci berhubung destinasi pesawat gah bersaiz lebar berkenaan.

Ketibaan pesawat berenjin empat itu namun tidak disambut pancuran air oleh jentera bomba ketika mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang baru-baru ini.

Situasi tersebut menunjukkan pesawat berkenaan bukan kali pertama mendarat singgah di terminal kargo udara di situ apabila ia tiada diraikan pun dengan acara tradisi semburan air itu.

Utusan Malaysia difahamkan bahawa pesawat tersebut pernah dimiliki Malaysia Airlines untuk beroperasi mengangkut barang dari 2006 sebelum ditamatkan perkhidmatannya pada 2018.

Operator nasional itu mempunyai dua buah model berkenaan yang dihasilkan firma ternama Boeing di Amerika Syarikat (AS) dan mampu mengisi muatan penuh mencecah berat 110 tan.

Bagaimanapun susulan penstrukturan semula kewangan syarikat, ia dijual tanpa diganti pesawat baharu sebelum dibeli oleh firma udara kargo terbesar Afrika itu yang berpusat di Kenya.

Astral Aviation ditubuhkan sejak 2001, menawarkan perkhidmatan berjadual antara benua tersebut dengan pelbagai terminal kargo udara utama di Eropah, Timur Tengah dan Asia Timur.

Syarikat berkenaan juga menyediakan penerbangan sewa khas melibatkan lebih 50 destinasi antara Afrika, Eropah dan Asia termasuk bantuan kemanusiaan dan misi pengaman sejagat.

Malah, ia juga pernah terlibat dalam operasi penghantaran 15,000 tan pelbagai peralatan perubatan untuk Covid-19 selain bekalan vaksin wabak berkenaan sepanjang dua tahun lalu. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN