Alliamah terima MyKad selepas penantian lebih 40 tahun - Utusan Malaysia

Alliamah terima MyKad selepas penantian lebih 40 tahun

R. ALLIAMAH, 64, yang sebak ditenangkan anaknya, Mohd. Faizal Suresh Abdullah, 45, ketika menerima MyKad daripada Ruslin Jusoh di Bangunan Persekutuan, Jalan Anson, Georgetown, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Seorang warga emas berusia 64 tahun dari Liberty Wood, Estate Kulim, Kedah terharu selepas penantiannya lebih 40 tahun untuk memperoleh MyKad berakhir hari ini.

Alliamah yang merupakan ibu kepada tujuh anak itu menerima MyKad (Daftar Lewat Kad Pengenalan) daripada Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Ruslin Jusoh dalam majlis di ibu pejabat JPN Pulau Pinang, di sini hari ini.

Alliamah berkata, disebabkan tidak mempunyai MyKad, dia tidak dapat memperoleh bantuan atau apa-apa keistimewaan sebagai warganegara Malaysia, malah, tidak pernah mengundi dalam mana-mana pilihan raya umum (PRU).

”Ketika kecil, berlaku kebakaran di rumah yang memusnahkan segala dokumen penting yang diperlukan untuk saya membuat kad pengenalan.

”Hidup saya juga susah sejak kecil, saya telah berusaha membuat kad pengenalan sejak berusia 20 tahun lagi, namun, akhirnya saya dapat memperoleh MyKad yang sah pada usia 64 tahun,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis penyerahan MyKad itu.

Dalam pada itu, menurut anak lelaki Alliamah, Mohd. Faizal Abdullah, 45, mendiang bapanya, S. Sahar Segaran yang meninggal dunia pada usia 39 tahun juga melakukan pelbagai cara untuk mendapatkan MyKad yang sah untuk ibunya.

”Sebelum ini di rumah kami di Kedah, ada dokumen-dokumen yang saya pasti bapa saya kumpul untuk urusan mendapatkan MyKad untuk ibu, namun, dokumen itu telah musnah akibat banjir.

“Kami tujuh beradik juga berjumpa dengan pelbagai pihak termasuk wakil-wakil parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sebagainya, namun, masih gagal mendapatkan MyKad untuk ibu,” katanya.

Tambahnya, akhirnya pada Disember tahun lalu, dia berjumpa dengan pegawai-pegawai JPN yang dapat membantu ibunya mendapatkan MyKad dan dalam tempoh enam bulan sahaja, ibunya berjaya memperoleh MyKad.

”Ibu melalui pelbagai kesukaran kerana tiada MyKad walaupun dilahirkan sebagai warganegara Malaysia. Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada kakitangan JPN yang memudahkan urusan kami dan membantu ibu saya mendapatkan MyKad,” katanya.

Sementara itu, Ruslin berkata, JPN Pulau Pinang menjalankan ujian DNA di Jabatan Kimia untuk membuktikan hubungan keluarga antara Alliamah dan adik-adiknya.

“Akhirnya berdasarkan keterangan temuduga, carian rekod kelahiran, ujian DNA dan dokumen sokongan daripada adik-adik Alliamah yang sah dan teratur, Panel Jawatankuasa Permohonan Daftar Lewat Kelahiran JPN meluluskan pendaftaran kelahiran beliau pada 23 Mac lalu.

“Sijil Kelahiran (Daftar Lewat Kelahiran) bertaraf Warganegara Malaysia dikeluarkan dan diserahkan kepada beliau pada 24 Mac dan Alliamah membuat permohonan mendapatkan Mykad pada 31 Mac lalu ,” katanya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya