KUALA LUMPUR: Seniwati Ogy Ahmad Daud terkilan apabila wanita yang menghina Islam ketika membuat persembahan komedi minggu lalu dibebaskan dengan jaminan Jabatan Agama Wilayah Islam (JAWI) baru-baru ini.
Ogy atau nama penuhnya Fauziah Ahmad Daud berkata, perkara seperti ini tidak seharusnya terlepas sebegitu mudah hanya kerana wanita yang dikenali Siti Nuramira ‘bertiketkan’ kad orang kurang upaya (OKU).
“Ustaz @firdauswong kita kena buat sesuatu ini. Tak boleh lepaskan manusia-manusia macam ini. Dia menghina agama Islam!
“Kita yang menganut agama Islam nak biarkan sahajakah? Teruk kita disoal di sana nanti (akhirat). Aku marah sangat ini!!!,” katanya.
Sebelum ini di hantaran sama akaun Instagram miliknya, penerima anugerah Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia 1985 dan 1986 itu turut menegur pihak JAWI dengan menyertakan situasi.
“Bangkit JAWI! Hina agama boleh lepas sebab OKU!
“Masa dia dengan tujuh teman lelakinya, dia ada tunjuk kad OKU tak? Tolonglah buat apa sahaja boleh lepas asalkan ada kad OKU!,” katanya.
Sebagai informasi, Nuramira yang mengaku seorang Muslim dan menghafal 15 juzuk al-Quran, didakwa membuka tudung dan menanggalkan baju kurung sewaktu membuat persembahan komediri (stand up comedy) di kelab berkenaan sehingga mencetuskan suasana tidak harmoni dalam kalangan penganut agama Islam lain.