CYBERJAYA: Penduduk negara ini yang berusia 18 tahun ke atas masih lagi boleh merokok dan diberikan jaminan tidak akan dihalang untuk terus merokok serta membeli produk rokok.
Sebaliknya tegas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, hanya generasi baharu berusia 18 tahun ke bawah pada masa ini yang tidak boleh membeli produk merokok dan juga individu lahir pada tahun-tahun tertentu yang akan menjadi generasi penamat produk tembakau dan merokok.
“Mereka yang merokok sekarang, boleh hisap sampailah mereka mati kelak, tetapi, remaja usia kurang 18 tahun akan jadi kelompok pertama tiada lagi perokok,” katanya kepada pemberita.
Terdahulu, beliau merasmikan pembukaan Hematogenix, iaitu makmal onkologi berpusat ternama pertama rantau Asia Pasifik dan turut disaksikan oleh Presidennya, Dr. Hytham Al-Masri.
Ia merupakan premis yang keempat di dunia selepas Chicago, Amerika Syarikat; Manchester, Britain dan Shanghai, China dengan telah pun mula beroperasi sekitar Jun pada tahun lepas.
Kementerian Kesihatan bakal membentangkan Rang Undang-undang (RUU) Akta Kawalan Tembakau dalam masa terdekat bagi menghapuskan generasi perokok secara berperingkat.
Ketika ini dianggarkan 4.7 juta rakyat Malaysia berumur 15 tahun ke atas merupakan perokok tegar namun trend semasa menunjukkan penurunan 20 peratus setiap tahun sejak 2019 lalu.
Mengulas lanjut, Khairy berkata, pihak industri tembakau terutama pengusaha vape bersetuju dengan RUU itu kerana buat julung kali sejak lebih sedekad, ada kawal selia produk tersebut.
“Ramai tidak tahu, vape sebenarnya ‘haram’ di Malaysia namun akhirnya kita akan ada satu undang-undang jelas isu ini dan secara tidak langsung mengekang pasaran gelap,” katanya.
Setakat ini, kerajaan ujarnya hanya mampu mengutip cukai tembakau hampir RM3 bilion setahun berbanding 60 peratus lagi ketirisan penyeludupan rokok menerusi pasaran tidak sah.
Bagaimanapun katanya, dari segi ekonomi pula ia tidak berbaloi kerana kerajaan terpaksa menanggung kos rawatan perokok akibat pelbagai jenis barah memcecah RM6 bilion setahun.
Justeru, beliau gembira kerana menerusi sesi libat urus dengan pemegang taruh, semua akhirnya faham dan menyokong RUU itu malah meminta Ahli-ahli Parlimen tidak membantah.
Minggu depan, Khairy bakal mengadakan sesi sama dengan semua anggota Dewan Rakyat bagi memberi penjelasan mengenai RUU tersebut sebelum bacaan kali pertama di Parlimen.
Perkembangan positif itu jelasnya, amat baik kerana sebelum ini ada badan bukan kerajaan yang bertegas mahu pengharaman langsung penjualan rokok di pasaran secara drastik.
“Langkah ini amat mustahil, maka saya cadang kita kompromi dengan mewujudkan generasi penamat rokok yang sekali gus usaha sebegini berterusan dalam jangka panjang,” tegasnya.
–UTUSAN ONLINE