Wujudkan komuniti kompos, kitar semula dari rumah - Utusan Malaysia

Wujudkan komuniti kompos, kitar semula dari rumah

SUKARELAWAN Pahlawan Sampah yang aktif mengutip sampah di kawasan-kawasan pelancongan sekitar Perlis.- UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Kesedaran terhadap kebersihan khususnya berkaitan isu pembuangan sampah masih rendah dalam kalangan masyarakat dan tabiat menjaga kebersihan itu perlu bermula dari rumah dan di setiap komuniti.

Justeru, beberapa cadangan digariskan bagi mengatasi masalah tersebut antaranya dengan mewujudkan komuniti kompos sendiri, kebun komuniti dan kitar semula dari rumah.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua sukarelawan Pahlawan Sampah Perlis, Rosnani Nazri berkata, hal demikian seperti kompos bahan-bahan sisa makan sendiri di rumah dengan teknik seperti Bokashi, Vermikompos, bank kompos dan sebagainya selain adakan komuniti kebun tempatan di setiap kampung.

Katanya, sebarkan kesedaran masyarakat untuk lebih peka mengenai pencemaran plastik dengan melaksanakan aktiviti pembersihan.

“Ibu bapa juga perlu memainkan peranan dalam menyemai sifatkan cintakan kebersihan alam sekitar terhadap anak-anak selain memastikan terlebih dahulu kawasan sekeliling seperti rumah sentiasa bersih.

“Apabila kawasan sekeliling kita bersih, secara tidak langsung, ia akan menjadi tabiat kepada kita untuk tidak membuang sampah di merata-rata tempat dan sentiasa menjaga kebersihan,” katanya yang aktif dengan kerja-kerja sukarelawan mengutip sampah di kawasan pelancongan di negeri ini sejak tiga tahun lalu.

Kelmarin, akhbar ini melaporkan, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) mengesan sebanyak 432 tapak pembuangan sampah haram di tujuh negeri yang tidak sepatutnya berlaku ketika Malaysia sedang menuju status negara bersih dan sihat.

Negeri yang menghadapi masalah itu adalah Perlis, Kedah, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang dan Johor dengan 163 daripadanya masih aktif iaitu terus menjadi tempat pembuangan sampah walaupun sudah ditutup oleh pihak berkuasa.

Pengerusi SWCorp, Datuk Rizalman Mokhtar dilaporkan berkata, pihaknya bimbang dengan kewujudan masyarakat yang tidak berdisiplin dari segi pengurusan kebersihan.

Sementara itu, Rosnani berkata, sampah perlu dikutip mengikut jadual di kawasan-kawasan majlis perbandaran dan SWCorp.

Katanya, di negeri ini, kawasan seperti pesisiran pantai Kuala Perlis masih tercemar ekoran sampah dari laut selain bahan buangan dari penduduk kampung terdekat.

Dalam pada itu, Rosnani yang juga pensyarah kanan Teknologi Marin Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis berkata, sejak 2019, sukarelawan Pahlawan Sampah atau Trash Hero telah mengutip sebanyak 34,078 kilogram atau lebih 34 tan metrik sampah di negeri ini

“Daripada jumlah tersebut, 500 kilogram sampah tersebut dikitar semula. Sebanyak 3,346 termasuk 506 kanak-kanak yang menjadi sukarelawan telah terlibat dengan aktiviti mengutip sampah ini khususnya di kawasan-kawasan pelancongan negeri ini.

“Melihat kepada jumlah yang banyak itu menunjukkan kesedaran terhadap kebersihan itu masih rendah,” katanya. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya