PETALING JAYA : Universiti Kuala Lumpur (UniKL) mencipta sejarah bidang pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) apabila menjadi universiti pertama Asia Tenggara menjalinkan kerjasama dengan badan perlesenan antarabangsa berkaitan sistem kawalan isyarat pengangkutan rel.
Pencapaian itu menerusi kolaborasi bersama Institute of Railway Signal Engineers United Kingdom (IRSE) yang ditubuhkan lebih 100 tahun lalu.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, satu perjanjian khusus dimeterai dengan IRSE bagi membolehkan UniKL menawarkan kursus di peringkat Diploma Lanjutan dan Sijil Kompetensi yang diiktiraf di seluruh dunia.
“Selepas ini Mara akan ada kesinambungan dengan UniKL untuk membolehkan akhirnya kita dapat satu persetujuan diantara UniKL dan IRSE dan salah satu yang saya nampak adalah pembangunan tenaga pakar dan profesional dalam bidang rel.
“Keduanya ada kolaborasi dari segi keahlian untuk Malaysia dan barangkali kita boleh menjadi Pusat Penilaian dan wakil IRSE di rantau Asia Tenggara,” katanya dalam satu kenyataan.
Mahdzir sebelum itu mengadakan pertemuan dengan Ketua Eksekutif IRSE, Blane Judd di Ibu Pejabat IRSE di London bagi memuktamadkan kolaborasi bidang yang dipersetujui bersama itu.
Tambah Mahdzir, menerusi kolaborasi itu, Pusat Rel Asia UniKL dilantik sebagai Pusat Penawaran Program Pembangunan Profesional bermula di peringkat sijil dan Diploma Lanjutan dalam bidang kawalan isyarat yang diperakui oleh pihak IRSE.
Selain itu katanya IRSE juga bersetuju menjadikan UniKL sebagai Pusat Penilaian kepada mana-mana individu profesional serta jurutera bidang kawalan isyarat yang akan dinilai oleh Pusat Rel Asia UniKL dan juga IRSE untuk membolehkan mereka mendapat pensijilan yang diiktiraf di seluruh dunia.
IRSE juga kata Mahdzir, menawarkan Bandaraya Kuala Lumpur untuk menjadi penganjur Konvensyen Antarabangsa IRSE pada tahun 2025.
“Kita di UniKL di bawah MARA mempunyai fakulti yang berkaitan dengan rel dan kita telah ada universiti ini lebih kurang dalam tujuh tahun yang lalu menawarkan ijazah dan diploma dalam bidang kejuruteraan rel.
“Setakat ini kita mempunyai 180 orang pelajar dan baharu sahaja melahirkan seramai tujuh orang graduan dalam bidang tersebut,” jelas Mahdzir.
IRSE yang ditubuhkan pada 1912, kini mempunyai 5,000 ahli dari 53 negara serta mempunyai 5,759 pemegang lesen profesional dalam bidang sistem kawalan isyarat dan telekomunikasi pengangkutan rel. –UTUSAN ONLINE










