PETALING JAYA: Bekas Menteri Besar Selangor, Dr. Mohamad Khir Toyo diingat tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh mencetuskan perpecahan dalam parti ketika UMNO berusaha menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) termasuk menakluki Selangor.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Veteran UMNO Malaysia, Datuk Othman Desa berkata, kenyataan-kenyataan mengundang persepsi buruk hanya mengakibatkan struktur parti menjadi lemah jauh sekali merampas Selangor yang selama ini menjadi milik pembangkang.
“Saya faham sesiapa pun berhak memberikan pandangan, tetapi, pada saat-saat kita menghadapi pilihan raya ini kita tidak perlu cipta isu untuk melemahkan parti dan memudaratkan keyakinan rakyat.
“Sebagai ahli veteran, saya lebih melihat kepada usaha menjaga parti dan setiap pandangan peribadi tidak memisahkan atau melemahkan kekuatan UMNO ketika rakyat sudah semakin menerima kita kembali.
“Soal siapa pemimpin yang mampu memenangkan sesebuah negeri, menjadi calon, ini semua tidak mengapa sebab pucuk pimpinan parti akan putuskan. Yang penting sekarang kita perlu bekerjasama dan bersatu sahaja,” katanya ketika dihubungi semalam.
Akhbar ini kelmarin melaporkan kenyataan Mohamad Khir, UMNO Selangor tidak mempunyai pemimpin yang mampu memenangkan negeri itu sekali gus menyebabkannya kalah tiga penggal berturut-turut dalam pilihan raya umum.
Khir berkata, strategi perlu diubah supaya Barisan Nasional (BN) mampu menawan kembali Selangor ketika kepemimpinan Pakatan Harapan (PH) kini tidak sekukuh pada 2008.
Selain itu, beliau menyifatkan strategi UMNO Selangor di bawah kepemimpinan Tan Sri Noh Omar sebagai Badan Perhubungan UMNO Selangor sebagai masih lemah dan tidak mengambil kesempatan terhadap Kerajaan Negeri Selangor yang kini tidak stabil.
Sementara itu, Pengerusi Veteran UMNO Selangor, Datuk Ahmad Bahari bagaimanapun berkata, kenyataan Mohamad Khir tidak tepat dan meremehkan pimpinan UMNO meskipun ia dikeluarkan atas kapasiti sebagai individu.
Tegasnya, kekalahan UMNO bukan setakat ditentukan oleh siapa pemimpin diketengahkan UMNO di Selangor, namun, terdapat faktor lain yang menyebabkan usaha menguasai negeri itu masih belum kesampaian.
“Ini tidak tepat kerana jangan menganggap kita seorang sahaja boleh memimpin. Kita masih lagi ada tokoh-tokoh di Selangor yang mampu menawan negeri. Faktor kekalahan UMNO di negeri ini bukan kerana pemimpin sahaja, tetapi disebabkan pemikiran rakyat dan fitnah-fitnah terhadap parti.
“Pimpinan UMNO pun bertukar ganti, jika pimpinan yang ada sekarang kita beri peluang untuk mereka buktikan. Peluang untuk UMNO takluk Selangor memang ada, dengan syarat kena benar-benar bersatu pada dan istiqamah dan jangan rasa diri hebat,” katanya. – UTUSAN










