Tengku Zafrul lebih diterima daripada Khir Toyo

Tengku Zafrul lebih diterima daripada Khir Toyo

TENGKU ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dilihat lebih diterima oleh pimpinan dan akar umbi UMNO di negeri ini berbanding bekas Menteri Besar, Dr. Mohamad Khir Toyo.

Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunos berkata, hasrat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Burong itu yang mahu membuat ‘comeback’ sebagai calon dalam PilihanRaya Umum Ke-15 hanya akan memecahkan perpaduan UMNO negeri.

Menurutnya, UMNO Selangor ketika ini hanya ada seorang pemimpin ke hadapan iaitu Tan Sri Noh Omar yang merupakan Pengerusi Perhubungan Negeri, Ahli Parlimen Tanjong Karang dan juga anggota Kabinet.

“Mohamad Khir pernah menjawat jawatan paling tinggi di Selangor iaitu Menteri Besar, saya rasa sewajarnya beliau curahkan segala pengalamannya kepada UMNO Pusat.

“Soal Tengku Zafrul pula, kami mengalu-alukan beliau sebagai Menteri Kewangan untuk turun ke Sungai Besar atau mana-mana bahagian di Selangor bagi membantu kami. Jadi, soal penerimaan sebagai calon itu tidak timbul,” katanya dihubungi Utusan Malaysia.

Jamal turut memberi amaran kepada Mohamad Khir dan penyokongnya supaya berhenti daripada meneruskan agenda membawanya kembali ke dalam pilihan raya akan datang.

Terdahulu Noh dalam temubual dengan akhbar ini mengingatkan Mohamad Khir adalah Menteri Besar ketika UMNO dan Barisan Nasional (BN) tewas kepada pembangkang dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) pada 2008.

Jelasnya, BN pada 2004 selepas PRU-11 memenangi 54 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan kerusi tewas adalah Sungai Pinang dan Sekinchan yang berada dalam Parlimen Sungai Besar ketika Mohamad Khir menjadi Ketua Bahagian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×