GUA MUSANG: Seorang suami cekal menjalankan tanggungjawab menjaga isteri kudung sebelah kaki dan ibunya yang sakit saraf di sebuah rumah usang di Kampung Limau Kasturi 1 di sini, sejak lima tahun lalu.
Mohd. Rafiee Jenal, 59, menguruskan keperluan isterinya Mohayati Che Pa, 43, selepas kaki kirinya dipotong akibat menghidap kencing manis lima tahun lalu serta ibunya, Siti Minah Awang, 81, yang tidak dapat berjalan.
Mohd. Rafiee berkata, setiap hari dia terpaksa menguruskan keperluan isteri dan ibunya termasuklah makan minum serta mengusung mereka ke bilik air.
Katanya, selain tugas menjaga keperluan isteri dan ibu, dia harus bertungkus-lumus mencari rezeki dengan menoreh getah bagi menyara tiga daripada lima anaknya yang masih bersekolah.
“Saya hanya mampu menjana pendapatan kira-kira RM400 sebulan. Selain itu, kami juga bergantung kepada wang bulanan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) milik isteri serta wang zakat ibu masing-masing RM400 setiap seorang.
“Saya mengaku wang itu tidak mencukupi dan keluarga kami perlu mencatu makanan dan kerap makan nasi berlaukkan telur,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.
Sementara itu, Mohayati berkata, dia berdepan penderitaan selepas melalui proses pemotongan kaki kiri akibat penyakit kencing manis kronik yang dihidapinya sejak lapan tahun lalu.
Katanya, dia sudah tidak mampu memikul tanggungjawab sebagai suri rumah.
“Selepas kehilangan sebelah kaki sejak lima tahun lalu pergerakan saya terbatas apabila memerlukan bantuan suami dan anak untuk bergerak.
“Saya terpaksa menyusahkan suami dan anak-anak terutamanya jika mahu ke bilik air,” katanya.
Cerita Mohayati, pada mulanya kaki kirinya mengalami bengkak dan berkudis sehingga terpaksa dipotong sehingga paras betis.
Katanya, dia menjalani pembedahan memotong kaki di Hospital Tanah Merah.
“Saya telah melakukan rawatan susulan dan terpaksa mengeluarkan kos kereta sewa untuk ke hospital.
“Kini sudah lama saya tidak ke hospital kerana masalah ketiadaan kenderaan dan wang. Hanya suami mengambil ubat-ubatan untuk penyakit saya di Klinik Kesihatan Bertam Baru,” katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan meringankan beban keluarga itu boleh melakukan demikian menerusi nombor akaun Bank Islam Mohayati Che Pa bernombor 03063020337241 atau hubunginya di talian 017-9489387. –UTUSAN ONLINE










