Sultan Sallehuddin kekanda yang penyayang

Sultan Sallehuddin kekanda yang penyayang

SULTAN Sallehuddin Sultan Badlishah bertanya khabar Tunku Faris Tunku Khalil (kiri) dan keluarga ketika hadir pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri di Istana Anak Bukit, Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Di mata dan hati kerabat diraja Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah merupakan seorang kekanda yang penyayang dan amat mengambil berat hal kebajikan mereka sejak dahulu lagi ketika belum menaiki singgahsana Istana Anak Bukit, di sini.

Perkara tersebut diakui sepupu baginda, Tunku Faris Tunku Khalil, 42, yang juga seorang ahli perniagaan dengan menggambarkan Sultan Kedah itu sangat mesra dan selalu bertanya khabar semua anggota kerabat.

“Baginda membahasakan diri sebagai abang kepada kami dan selalu nak berjumpa dengan saudara mara dahulu. Setiap kali hari raya sebelum Covid-19 dahulu, baginda akan buat jamuan dan jemput semua saudara mara daripada Kerabat Diraja Kedah hadir ke Istana Anak Bukit.

“Satu yang saya kagumi tentang sikap Tuanku Sultan adalah baginda sangat mesra, selalu tersenyum dan suka bercerita. Kalau kami berjumpa baginda akan suka berceri­ta macam-macam terutama kenangan ketika dalam tentera,” katanya ketika ditemui di sini.

TEGAS

Tunku Faris tidak menafikan latar belakang ketenteraan itu menjadikan Sultan Sallehuddin seorang yang sangat tegas dalam tindakan, namun, penuh dengan keprihatinan.

“Saya masih ingat ketika Tuanku Sultan dilantik sebagai Pemangku Sultan ketika Almarhum Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah berangkat ke Istana Negara dan baginda pulang ke sini, pihak istana me­rancang untuk melakukan ubah suai rumah kerabat di sini.

“Namun, baginda menolak, Baginda cakap tidak suka untuk belanja duit rakyat sesuka hati. Tidak mengapalah bagin­da sekeluarga duduk di rumah yang kecil dan biasa sahaja,” katanya.

Bercerita lanjut, kata ayah kepada tujuh cahaya mata itu, sikap mengambil berat baginda terhadap rakyat juga terserlah ketika bergelar Tunku Temenggong Kedah dan kebijaksanaan baginda menyelesaikan banyak masalah berkaitan rakyat.

“Salah satunya adalah krisis pembinaan pusat beli belah Aman Central di Alor Setar ketika Menteri Besar Allahyarham Datuk Seri Azizan Abdul Razak. Banyak masalah dalam projek itu.

“Namun dengan campur tangan baginda ketika itu masalah tersebut dapat diselesaikan dan pembangunan kawasan itu merancakkan ekonomi Kedah ketika ini,” katanya.

Seorang lagi kerabat Diraja Kedah, Tunku Badruzzaman Tunku Abdul Aziz, 74, berkata, Sultan Kedah adalah seorang anak raja yang prihatin terhadap rakyat dan bekas ‘soldadu’ yang sejati.

“Saya pernah bersama de­ngan baginda dalam tentera pada awal tahun 70-an. Ba­ginda menjalani kehidupan sebagai seorang anggota tentera yang sejati walaupun berstatus anak raja.

“Pernah kami semua kena denda lari pusing padang ba­nyak kali dan baginda pun ikut sekali. Baginda tidak pernah menganggap dirinya sebagai anak raja namun meminta la­yanan yang sama seperti askar lain,” katanya.

Menurut Tunku Badruzzaman, Sultan Sallehuddin juga senang bergaul dengan sesiapa sahaja di kem sepanjang berkhid­mat dalam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN