Skuad B-16 ada sinar - Kim Swee

Skuad B-16 ada sinar – Kim Swee

ONG KIM SWEE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengarah Teknikal Program Pembangunan Bola Sepak Nasional (NFDP), Datuk Ong Kim Swee melihat pencapaian skuad Malaysia B-16 di Kejuaraan B-17 ASEAN 2026 bukan sekadar kejayaan mara ke final, sebaliknya isyarat jelas bahawa negara kini berada di landasan tepat untuk melahirkan generasi baharu lebih kompetitif.

Meskipun terlepas peluang menjulang kejuaraan selepas tewas 0-3 kepada Vietnam B-17, pencapaian naib juara itu tetap mencuri perhatian kerana Malaysia muncul sebagai pasukan termuda dalam kejohanan tersebut.

Lebih membanggakan, ini merupakan kali pertama skuad muda negara melangkah ke pentas final sejak edisi 2019, dan secara tidak langsung menghidupkan kembali keyakinan terhadap sistem pembangunan akar umbi.

“Kita sudah melihat komitmen padu staf kejurulatihan diketuai Shukor Adan dan kerja keras para pemain sepanjang kempen ini.

“Sungguhpun begitu, kejohanan ini memberikan satu platform yang berharga untuk merenung, menyemak dan menganalisis prestasi keseluruhan kita dengan cara yang membina,” katanya.

Di sebalik pencapaian tersebut, Kim Swee tidak menafikan masih banyak ruang perlu diperbaiki, terutama jika Malaysia berhasrat tampil lebih mantap dalam Kelayakan Piala Asia B-17 2027 yang dijadual berlangsung November depan.

“Hal ini menunjukkan masih ada banyak kerja yang perlu dilakukan jika kita mahu tampil lebih bersedia untuk pusingan kelayakan Piala Asia B-17 pada November ini,” jelasnya.

Menurutnya, fokus utama kini adalah memperhalusi struktur permainan termasuk meningkatkan disiplin taktikal, memperkukuh daya tahan fizikal serta menajamkan sentuhan penyudah yang dilihat masih belum konsisten sepanjang kejohanan.

Dalam masa sama, aspek organisasi bertahan dan keupayaan mengawal tempo permainan ketika berdepan tekanan tinggi turut menjadi keutamaan bagi memastikan pasukan tidak mudah goyah dalam situasi kritikal.

NFDP dijangka merangka lebih banyak aksi persahabatan berprofil tinggi selain kem latihan intensif bagi memberi pendedahan lebih luas kepada pemain sebelum turun ke saingan kelayakan.

Kim Swee turut menekankan pembangunan mentaliti sebagai elemen penting dalam membentuk pemain yang bukan sahaja berbakat, tetapi memiliki ketahanan emosi dan disiplin tinggi di atas padang.

Dengan gabungan pengalaman, perancangan rapi dan kesinambungan pembangunan, beliau optimis skuad muda negara mampu menjadikan kegagalan di final sebagai titik tolak untuk bangkit lebih kuat di pentas Asia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×