Sultan Nazrin zahir ucapan takziah pemergian Arshad Ayub  - Utusan Malaysia

Sultan Nazrin zahir ucapan takziah pemergian Arshad Ayub 

SULTAN NAZRIN MUIZZUDDIN SHAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menzahirkan rasa dukacita dan ucapan takziah kepada keluarga tokoh pendidikan negara, Allahyarham Tun Dr. Arshad Ayub yang meninggal dunia awal pagi tadi.

Dalam perutusan takziah kepada isteri Allahyarham, Toh Puan Zaleha Mohd. Arshad yang dikeluarkan Istana Iskandariah Kuala Kangsar hari ini, Sultan Nazrin bertitah, baginda menerima berita sedih kembalinya ke Rahmatullah Arshad, yang merupakan bekas Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaya (UM).

Baginda bertitah, Arshad merupakan seorang towering personality yang amat terkenal dalam program-program yang melibatkan pendidikan anak Melayu.

Titah baginda, Allahyarham semasa hayatnya telah berjaya menyuntik imej yang lebih bertenaga kepada Institut Teknologi Mara (ITM) melalui visi dan kecekalan mahu melahirkan angkatan profesional Melayu dan bumiputera.

“Ketokohan yang dimiliki meletakkan Allahyarham sebagai seorang tokoh yang dihormati, disegani dan disayangi.

“Pemergian yang telah ditentukan oleh Ilahi ini semestinya merupakan kehilangan besar kepada waris, anggota keluarga dan sahabat handai.

“Melalui warkah ini, Beta dan Raja Permaisuri menzahirkan ucapan takziah kepada Toh Puan Zaleha Mohd. Arshad dan mendoakan semoga waris, anggota keluarga dan sahabat handai Allahyarham menghadapi saat duka dan hiba ini dengan penuh keredaan dan ketabahan di samping meningkatkan ketakwaan.

“Semoga segala khidmat murni Allahyarham diterima sebagai amal yang diberikan ganjaran rahmat ketika di alam barzakh, begitu juga pada hari kebangkitan.

“Semoga roh Allahyarham ditempatkan di kalangan roh-roh para solihin. Al-Fatihah,” titah baginda.

Arshad, 93, menghembuskan nafas terakhir pada pukul 2.06 pagi tadi selepas dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) di sebuah hospital sejak Selasa lalu.

Allahyarham adalah pengarah pertama ITM sejak tahun 1967 sehingga 1975 sekali gus pencetus idea kepada perkembangan pendidikan di ITM yang kini dikenali sebagai UiTM. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.